Dortmund sentiasa mahu cipta peningkatan -- Favre

Oleh Staff Writer 18 Ogos 2019 735
Dortmund sentiasa mahu cipta peningkatan -- Favre
Pengendali Borussia Dortmund, Lucien Favre, berkata pasukan kendaliannya mahu terus meningkatkan persembahan selepas menewaskan Augsburg 5-1 semalam.

Naib juara musim lalu, Dortmund, merakamkan kemenangan terbesar pada hari pembukaan dalam tempoh 52 tahun di pentas Bundesliga selepas membenam cabaran Augsburg di laman sendiri.

Florian Niederlechner memberikan pelawat pendahuluan seawal minit pertama tetapi kelebihan itu dipadamkan Paco Alcacer dua minit kemudian.

Kecemerlangan terus dipamerkan Dortmund -- melepaskan kelebihan sembilan mata di tangan Bayern Munich musim lalu -- apabila menyumbat empat lagi gol dalam babak kedua menerusi Jadon Sancho, kapten, Marco Reus, Alcacer dan Julian Brandt.

"Kami meningkatkan tempo permainan dalam babak kedua dan ia bagus," kata Favre.

"Keputusan itu jelas dan layak diraih tetapi kami juga masih perlu perbaiki beberapa perkara.

"Kami mahu jadi lebih baik setiap hari. Apa yang penting bagi saya ada pemain mempamerkan peningkatan secara individu dan berpasukan."

Reus yang menjaringkan gol ketiga Dortmund selepas 12 minit permainan bersambung menambah: "Terdapat banyak keceriaan untuk beraksi dalam perlawanan pertama di laman sendiri. Tiket habis dijual dan peminat teruja. Apabila kami ketinggalan, mereka menjerit.

"Kami tidak meragui mampu menang aksi ini. Jelas sekali ia tidak sempurna kerana kami boleh mendahului 2-1 sebelum rehat. Selepas itu, kami fikir perlu beraksi lebih kemas. Itu cara kami mencipta peluang.

"Kami bermain menuju tempat duduk South Stand dan ia memberi kami motivasi. Anda yakin boleh menambahkan tekanan dan ia memacu permainan. Kami gembira dapat menjaringkan empat gol di depan South Stand."

Pemain Jerman, Nico Schulz, melakukan aksi pertama Bundesliga buat Dortmund -- bersama Mats Hummels dan Thorgan Hazard -- selepas tiba daripada Hoffenheim ketika jendela perpindahan musim panas lalu.

"Ia satu permulaan yang sangat baik," katanya.

"Kami menuju perlawanan dengan tetapan yang telah dilakukan. Kami tenang selepas dibolosi dan gembira dapat mengutip tiga mata. Kami mendahului 2-1 lebih awal dan meraih lebih banyak ruang. Kemudian, segalanya lebih mudah buat kami.

"Sorakan peminat menjadikan saya bangga. Jelas sekali, kami membayar sokongan mereka dengan persembahan hebat."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen