Dua gol lewat beri Atletico kelebihan

Oleh Staff Writer 21 Februari 2019 464
Dua gol lewat beri Atletico kelebihan
ATLETICO MADRID 2 JUVENTUS 0

Jaringan lewat permainan daripada Jose Gimenez dan Diego Godin memberikan Atletico Madrid kelebihan selepas menundukkan Juventus 2-0 dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah di  Stadium Wanda Metropolitano, awal pagi tadi.


Giminez memanfaatkan sepakan penjuru pada minit ke-78 untuk membuka jaringan tuan rumah sebelum Godin menggandakan kedudukan itu pada lewat permainan menerusi sepakan percuma yang terbias ke badan bekas pemain Real Madrid, Cristiano Ronaldo.

Alvaro Morata hampir merobek gawang bekas pasukannya itu lebih awal, namun jaringan tersebut dibatalkan video bantuan pengadil (VAR) manakala peluang terbaik Juve pula tiba ketika sepakan percuma Ronaldo dikuis keluar Jan Oblak pada 10 minit pertama perlawanan.

Juara Serie A itu dilihat mampu membawa keputusan seri tanpa jaringan ke aksi kedua di Turin, namun Atletico, yang akan kehilangan Diego Costa dan Thomas Partey dalam perlawanan kedua ekoran penggantungan perlawanan, memastikan kemenangan pada hujung perlawanan.

Aksi menarik disajikan sepanjang babak pertama dengan Atletico sepatutnya dihadiahkan sepakan penalti pada minit pertama perlawanan.

Blaise Matuidi menjatuhkan Antoine Griezmann ketika perebutan bola di udara, namun pengadil perlawanan tidak mengendahkan permintaan daripada skuad kendalian Diego Simeone itu.

Ronaldo kemudian memaksa Oblak melakukan aksi menyelamat gemilang menerusi sepakan percumanya dari jarak 30 ela pada minit ketujuh selepas tindakan Costa mengganggu gerakan "set-piece" itu mengakibatkan dia akan terlepas aksi perlawanan kedua.

Leonardo Benucci memperoleh peluang keemasan daripada sepakan sudut sebelum sepakan leret Partey memberikan Wojciech Szczesny tugasan getir pertamanya dalam perlawanan itu.

Atletico diberikan sepakan penalti pada minit ke-24 selepas Costa dijatuhkan, namun keputusan itu diubah kepada sepakan percuma selepas ulang tayang.

Penyerang itu juga bernasib baik kerana tidak dilayangkan kad kuning kedua selepas melakukan simulasi selepas hanya menerima sentuhan minimum daripada Mattia De Sciglio.

Juanfran turut bernasib baik apabila terlepas daripada sebarang tindakan meskipun melakukan terjahan keras ke arah buku lali Ronaldo.

Bekas penyerang Real Madrid itu seakan-akan menagih simpati terhadap perkara itu, namun dia bangun untuk mengingatkan penyokong Atletico tentang lima kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah miliknya dengan mengangkat lima jari ke udara.

Malam mengecewakan buat Costa berterusan apabila peluang terbuka di depan gol berkesudahan dengan percubaan yang melambung tinggi sebelum Szczesny melakukan aksi menyelamat hebat untuk menafikan peluang jaringan Griezmann yang ditolak melewati palang gol.

Costa kemudian digantikan dengan Morata menuju sejam perlawanan dan bekas penyerang Juve tersebut berjaya merobek gawang bekas majikannya itu sebelum VAR mengesan dia menolak Giorgio Chiellini dalam usahanya menghasilkan tandukan berkenaan.

Wira jaringan Atletico rupa-rupanya hadir daripada barisan pertahanan dengan Giminez menjaringkan gol keduanya dalam kempen musim ini sebelum Godin turut meraih jaringan pertamanya dalam Liga Juara-Juara Eropah sejak Oktober 2014 untuk membiarkan Juve -- yang turut dinafikan peluang jaringan selepas Oblak menyelamatkan percubaan Federico Bernardeschi -- berusaha keras dalam perlawanan kedua bulan depan.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen