Enrique tidak rancang eksperimen baru buat Sepanyol

Oleh Staff Writer 23 Mac 2019 744
Enrique tidak rancang eksperimen baru buat Sepanyol
Pengendali Sepanyol, Luis Enrique, akan kekal dengan formasi 4-3-3 menjelang aksi pertama kelayakan Euro 2020 sambil bertekad untuk menyamai kejayaan skuad La Roja sebelum ini.

Sepanyol -- pemenang Euro edisi 2008 dan 2012 serta menjulang Piala Dunia pada 2010 -- bakal menentang Norway serta Malta dalam dua aksi pertama kelayakan Euro 2020 bagi saingan Kumpulan F yang turut dihuni oleh Sweden, Romania serta Kepulauan Faroe.

Hanya beberapa pemain daripada skuad emas Sepanyol yang masih memperkuatkan pasukan itu ketika ini dan Enrique menegaskan masa diperlukan untuk membina semula pasukan serta menyamai pencapaian hebat 10 tahun lalu.

Kini, dia mahu mendapatkan formula kemenangan terlebih dahulu sambil menolak untuk mencuba pelbagai perkara di peringkat awal kelayakan.

"Saya tidak tergesa-gesa," katanya.

"Saya sudah memiliki kesebelasan utama dan menyenaraikan 23 pemain sama, namun saya rasa ia adalah proses yang panjang. Ia bukan sekadar hasil kerja beberapa minggu.

"Kami akan memulakan perlawanan rasmi dan tiada lagi aksi persahabatan untuk melihat pemain, jadi kami perlu mula mencipta kemenangan serta mencapai tahap yang diperlukan dalam kelayakan. Namun, saya juga akan cuba bersama pemain baru.

"Saya akan kekal dengan sistem sama, 4-3-3."

Dalam masa sama, Enrique berpendapat tidak adil untuk membandingkan pasukan kendaliannya dengan skuad yang menjuarai dua edisi Euro serta satu Piala Dunia.

"Jika kami membandingkan dua pasukan ini, sudah tentu kami tewas," tambahnya.

"Kami tidak perlukan perbandingan dengan masa lampau tetapi melihat kepada seteru. Kami tidak berada di posisi sama memandangkan kini menduduki tangga kesembilan FIFA.

"Trofi terakhir yang dimenangi adalah pada 2012 dan saya boleh katakan projek ini bermula dengan fasa kelayakan yang besar.

"Pemain yang memperkuatkan pasukan sebelum ini mungkin sudah bersara. Kini, kami mencari kekuatan baru.

"Bukan mudah untuk mendominasi kejuaraan."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen