FAM: Stadium moden akan dibina di Putrajaya

Oleh Bernama 12 September 2019 300
FAM: Stadium moden akan dibina di Putrajaya
Sebuah stadium bola sepak moden akan dibina di Presint 5, Putrajaya bersama-sama ibu pejabat baru Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan presint itu sebagai pusat sukan menerusi kewujudan Bandar Bola Sepak (Football City), yang menempatkan ibu pejabat FAM, sambil diapit Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF).

Hamidin mengetuai delegasi FAM meninjau tapak pusat latihan dan ibu pejabat baru badan induk itu bersama-sama dua Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, Setiausaha Agung, Stuart Ramalingam, dan barisan exco hari ini.

Beliau berkata tapak seluas 13 ekar itu akan dijadikan Pusat Latihan Kebangsaan FAM selepas diwartakan sebagai padang untuk bola sepak oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Perbadanan Putrajaya (PPj).

Tujuan utama FAM membina pusat latihan berkenaan adalah untuk menyediakan kemudahan latihan bertaraf dunia, menepati tuntutan moden bertujuan memberi suasana prestasi tinggi demi kegunaan pasukan elit tanpa mengetepikan komuniti Putrajaya.

Dalam lawatan itu, Naib Presiden Perancangan Bandar PPj, Datuk Fadlun Mak Ujud, memberi taklimat dan penerangan terperinci mengenai pembangunan bandar bola sepak di Presint 5.

Sejajar dengan hasrat PPj yang mahukan pusat latihan itu dibuka kepada kegunaan masyarakat setempat, FAM bercadang menggunakan kaedah guna sama selain menimbang kemungkinan membina taman rekreasi untuk kegunaan penduduk setempat di Putrajaya.

“Berdasarkan tinjauan ini, FAM berpuas hati dengan susun atur serta pelan cadangan yang dikemukakan oleh pihak Perbadanan Putrajaya menerusi Datuk Fadlun.

“FAM juga mengambil kira tuntutan masyarakat setempat selain pentingnya sebuah stadium bertaraf antarabangsa yang boleh dijadikan gelanggang perlawanan antarabangsa," kata Hamidin menerusi kenyataan di Facebook FAM, hari ini.

Lawatan rasmi FAM itu kemudian diakhiri dengan tinjauan ke ibu pejabat AFF yang baru.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen