Felix tidak takut, kata Simeone

Oleh Staff Writer 12 Disember 2019 256
Felix tidak takut, kata Simeone
Diego Simeone memuji sikap tidak takut Joao Felix selepas penyerang itu menyempurnakan sepakan penalti yang membawa Atletico Madrid ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

Pasukan Sepanyol itu memerlukan tiga mata untuk layak ke pusingan 16 dan mereka melaksanakannya dengan menewaskan Lokomotiv Moscow 2-0 di Wanda Metropolitano.

Kegusaran semakin memuncak apabila Kieran Trippier gagal menyudahkan sepakan penalti pada minit kedua untuk meningkatkan tekanan buat pasukan itu, yang tidak menjaringkan sebarang gol dalam tiga perlawanan terakhir.

Tetapi selepas memenangi sepakan penalti itu, Felix memberanikan diri untuk menamatkan penantian gol Atletico berselang 15 minit.

Pemain kebangsaan Portugal berusia 20 tahun itu tidak mengulangi kesilapan Trippier untuk menyudahkan sepakan penalti kedua selepas bola terkena tangan Rifat Zhemaletdinov.

"Dia amat bersemangat, amat optimis dan masih muda," kata pengurus itu kepada Movistar selepas tamat perlawanan.

"Ketika anda muda, anda tidak takut apa-apa.

"Joao sedang berada dalam fasa itu.

"Dia beraksi dalam perlawanan yang amat penting.

"Joao sentiasa berkembang, banyak perkara yang menarik tetapi kami memerlukan setiap penyerang untuk bergandingan lebih baik untuk menamatkan perlawanan lebih awal," katanya.

Jaringan Felix itu merupakan yang kedua dilakukannya di peringkat Eropah dan yang pertama dalam kesemua kejohanan sejak menewaskan Lokomotiv, Oktober lalu.

"Bapa saya sentiasa menasihatkan saya supaya tidak takut untuk memikul tanggungjawab. Saya sentiasa mahu menjaringkan gol dan itulah yang saya lakukan," katanya.

Atletico perlu menunggu sehingga minit ke-54 untuk pertahanan tengah, Felipe, mengesahkan kemenangan mereka.

Skuad kendalian Simeone itu menamatkan saingan Kumpulan D itu di tangga kedua selepas Bayer Leverkusen tewas 0-2 kepada pendahulu, Juventus, dalam satu lagi perlawanan.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen