Final Piala AFF: Malaysia miliki kelebihan 

Oleh Staff Writer 11 Disember 2018 1580
Final Piala AFF: Malaysia miliki kelebihan 
Penganalisis bola sepak negara, Datuk Richard Scully, berpendapat Malaysia memiliki kelebihan menjelang pertemuan pertama final Piala Suzuki AFF 2018 menentang Vietnam malam ini berdasarkan statistik keseluruhan kedua-dua pasukan ketika ini.

Skuad Harimau Malaya hadir ke pentas akhir dengan keyakinan yang cukup tinggi selepas menyingkirkan juara bertahan, Thailand, di peringkat separuh akhir, Rabu lalu.

Lawan mereka dalam final, Vietnam, juga tidak kurang hebatnya apabila mara ke final dengan rekod tanpa kalah, termasuk kemenangan 2-0 ke atas Malaysia dalam aksi kumpulan, 16 November lalu.

Namun, Richard berpandangan peningkatan prestasi yang ditunjukkan anak buah Tan Cheng Hoe meletakkan Malaysia berkelebihan untuk menang di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

"Setakat ini, jika dilihat statistik, Vietnam mencatat enam percubaan tepat keseluruhan, iaitu 42.9 peratus percubaan tepat dan catatan itu kurang jika dibandingkan dengan Malaysia," kata Richard.

Skuad negara perlu mengelak kegagalan memanfaatkan aksi di laman sendiri seperti yang berlaku ketika bertemu Thailand dalam perlawanan separuh akhir pertama sebelum ini dan perkara itu diakui pengurus skuad kebangsaan, Datuk Wira Yusoff Mahadi, apabila menuntut pasukannya mendapatkan bekalan selesa untuk dibawa ke aksi timbal balik di Hanoi, Sabtu ini.

"Kami tidak boleh biarkan Vietnam mengatasi Malaysia, malah mereka harus ditundukkan terlebih dahulu di sini. Malaysia perlu mendapatkan jaringan yang selesa. Pemain tidak boleh memandang mudah atau ia akan memakan diri," ujar Yusoff.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen