Godaan kelab gergasi ganggu rentak Sancho -- Delaney 

Oleh Shaiful Shamsudin 29 Mei 2020 103
Godaan kelab gergasi ganggu rentak Sancho -- Delaney 
Jadon Sancho berasa tertekan dikaitkan dengan banyak kelab gergasi, menurut rakan sepasukannya di Borussia Dortmund, Thomas Delaney.

Pemain antarabangsa England itu dikhabarkan menjadi sasaran beberapa pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan seteru domestik, Bayern Munich, setelah sekali lagi mengharungi musim Bundesliga yang mengagumkan.

Dia telah menyumbangkan 30 jaringan dan bantuan gol di Jerman musim ini untuk mengekori pencapaian bintang RB Leipzig, Timo Werner. 

Justeru, Delaney yakin Sancho akan menjadi salah seorang daripada lima pemain terbaik dunia. 

Namun, pemain berusia 20 tahun itu mula terasa bahangnya untuk beraksi secara secara tekal di peringkat tertinggi buat kelab dan negara.

 


"Jelas sekali dia merupakan salah seorang bakat terbesar yang pernah saya bergandingan," katanya kepada podcast ESP & Gab & Juls. 

"Dengan bakatnya itu akan muncul tekanan tinggi jadi saya rasa perlahan-lahan dia mulai berasakannya di peringkat kebangsaan termasuk kelab-kelab yang memburunya. 

"Hingga ke saat ini, dia tampil dengan sangat baik, lebih baik daripada yang diharapkan tetapi langkah selanjut dalam kariernya akan menjadi satu perkembangan yang menarik. 

"Hanya dengan melihat kemampuannya sahaja, dia memiliki apa yang diperlukan untuk muncul sebagai salah seorang daripada lima pemain terbaik dunia. Saya pernah melihat bakat besar yang disia-siakan, tetapi saya boleh katakan bahawa dia sudah cukup berusaha untuk membuktikan dirinya.

"Dia baru berusia 19 tahun tetapi sudah merakamkan banyak gol dalam liga di samping Timo Werner dan Robert Lewandowski. Ia amat mengagumkan tetapi dia harus berusaha lebih kuat lagi."

 

Sancho tidak bersendirian dikaitkan akan meninggalkan Signal Iduna Park apabila penyerang produktif, Erling Haaland, juga dilaporkan menjadi sasaran banyak pasukan.

Haaland telah menyumbat 13 gol dalam 14 perlawanan sejak bergabung dengan pasukan di tangga kedua tersebut Januari lalu, sehubungan itu Delaney melihatnya penggempur berkenaan akan bertambah berbisa. 

"Saya melihat seorang pemuda yang gigih untuk memperbaiki prestasinya," katanya. 

"Kadang-kadang dia menjengkelkan kerana semua tindakannya harus tepat dengan meningkatkan latihan dan pemakanan yang lebih baik.

"Saya rasa dia pasti meraih manfaat daripada orang-orang di sekelilingnya terutama ayahnya yang tahu bagaimana sesuatu berfungsi dalam bola sepak. Mengenai Erling, saya tidak perlu menyebut statistiknya."

Pemain tengah dari Denmark itu turut memuji pemain remaja Amerika Syarikat (AS), Gio Reyna, yang sudah muncul 13 kali dari bangku simpanan musim ini.

"Gio juga baru saja masuk, dia datang dari jauh dan kejayaan akan menyusul buatnya," katanya lagi. 

"Dia pemain yang anda boleh harapkan kerana dalam latihan dia berada di tahap yang tinggi."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen