Guardiola tangkis tanggapan Klopp, Mourinho: Keputusan CAS baik untuk bola sepak 

Oleh Shaiful Shamsudin 15 Julai 2020 241
Guardiola tangkis tanggapan Klopp, Mourinho: Keputusan CAS baik untuk bola sepak 
Keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membatalkan penggantungan selama dua tahun kepada Manchester City dalam kejohanan membabitkan Persatuan Bolasepak Eropah (UEFA), Pep Guardiola berikrar untuk terus bekerja keras bagi membersihkan nama kelab itu. 

Pengurus kelahiran Sepanyol itu ditemu bual oleh wartawan seperti biasa dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu Bournemouth, semalam. 

Kurang 24 jam sebelum itu, CAS menawarkan perkhabaran gembira buat City, yang didakwa atas pelanggaran Kewangan Fair Play UEFA selain dikenakan denda. 

Jurgen Klopp terlebih dahulu menyifatkan keputusan itu sebagai "hari yang buruk untuk bola sepak", sementara Jose Mourinho menganggapnya sebagai "keputusan yang memalukan".

"Apa yang saya mahu katakan berhubung pendapat mereka itu, saya ingin memberitahu Jose dan Jurgen bahawa ia adalah hari yang baik untuk bola sepak. Hari yang sangat baik," kata Guardiola. 


 

"Saya mempunyai sejarah yang panjang, saya sangat menghormati (rakan sejawatan), tidak hanya kepada pengurus Tottenham Hotspur dan Liverpool itu malah kepada semua pengurus yang saya hadapi.

"Tetapi saya tidak menjangkakan bahawa mereka akan mempertahankan kelab saya. Tetapi saya mahu melakukannya, bertahan ketika dalam keadaan baik malah pada saat-saat buruk."

Menurut laporan terbaru Penanda Aras Pelesenan Kelab UEFA, perbelanjaan bersih City pada 2018 adalah sebanyak €282 juta (RM1.3b) -- satu catatan tertinggi buat mana-mana kelab --  sementara kos skuad mereka sebanyak €971 juta (RM4.7b) diangkat sebagai yang termahal dalam sejarah.

Pemenang tiga kejuaraan domestik 2018-19 itu telah menjadi sebuah kelab yang mengubah landskap bola sepak Inggeris sejak diambil alih pemilik dari Abu Dhabi pada 2008 apabila memenangi enam dari lapan kejuaraan utama Inggeris, tetapi Guardiola berpendapat perbelanjaan tinggi sering menjadi faktor menjadi pasukan paling berjaya.

"Banyak kelab melabur. Ketika Manchester United dan Arsenal memenangi liga, mereka melabur lebih banyak wang daripada yang lain," katanya.

"Ketika Chelsea mula memenangi EPL, mereka melaburkan lebih banyak wang daripada yang lain.

"Saya seorang pengurus yang bagus, tetapi saya tidak mampu memenangi gelaran jika saya tidak mempunyai pemain yang baik dan mereka itu mahal.

"Semua kelab berbelanja besar-- Barcelona, Real Madrid menghabiskan banyak wang, pasukan Inggeris menghabiskan banyak wang.

"Kami membina kelab daripada segi itu sejak dekad yang lalu. Untuk bersaing dengan kelab elit EPL dan UCL, kami perlu melabur."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen