Haaland: Tidak susah tangani spekulasi perpindahan

Oleh Staff Writer 10 Disember 2019 509
Haaland: Tidak susah tangani spekulasi perpindahan
Erling Haaland tidak berasa sukar untuk menangani spekulasi perpindahan yang kian meningkat disebabkan keberkesanannya di depan gawang lawan.

Penyerang remaja Salzburg itu sedang menikmati kempen cemerlang dengan menjaringkan lapan gol daripada lima perlawanan Liga Juara-Juara Eropah selain 16 gol dalam 14 perlawanan Bundesliga Austria.

Jika dia menjaringkan gol ketika menentang Liverpool dalam perlawanan terakhir Kumpulan E awal pagi esok -- di mana Salzburg boleh menyingkirkan juara bertahan itu -- dia akan menjadi pemain pertama menjaringkan gol dalam keenam-enam perlawanan pertama dalam Liga Juara-Juara Eropah.

Manchester United -- yang diuruskan oleh bekas jurulatih Haaland sewaktu di Molde, Ole Gunnar Solskjaer -- dikatakan berminat untuk membawa pemain berusia 19 tahun itu ke Old Trafford manakala Borussia Dortmund, Juventus, Real Madrid, Barcelona dan Liverpool turut dikaitkan untuk mendapatkan khidmat penyerang itu.

Haaland, bagaimanapun, tidak berminat dengan khabar angin seperti itu.

"Saya hanya menumpukan terhadap tugas saya, bermain bola sepak, menikmati apa yang saya lakukan setiap hari dan turun dengan minda yang tenang, untuk berada di tempat saya sekarang dan menikmati setiap momen di sini," katanya dalam sidang media.

"Itulah fokus saya, untuk menumpukan kepada Salzburg dan kepada diri sendiri sebagai seorang pemain.

"Ia langsung tidak susah (untuk berdepan spekulasi perpindahan).

"Saya menikmatinya setiap hari dan bermain bola sepak," katanya lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen