Hamada mahu Hadi Fayyadh berusaha lebih keras

Oleh Bernama 12 November 2019 6138
Hamada mahu Hadi Fayyadh berusaha lebih keras
Penyerang muda negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak, yang masih bergelut untuk  mendapat tempat dalam pasukan utama Fagiano Okayama sejak bergelar pemain antarabangsa di kelab Divisyen Dua Liga Jepun (J2) itu pada Disember 2018 dinasihati supaya berusaha lebih keras dan jangan menunggu lama. 

Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada, yang juga merupakan penaja Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengakui bahawa bekas penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) II itu mempunyai fizikal yang baik sebagai pemain bola sepak tetapi mesti meningkatkan kemahirannya, terutama dalam menggelecek untuk berpeluang bermain dalam kesebelasan pertama.

"Keadaan itu (kekurangan masa bermain) tidak hanya berlaku kepada Hadi Fayyadh tetapi juga pemain lain dalam Liga Jepun. Oleh itu, dia perlu bekerja keras untuk mendapatkan tempat dalam skuad utama.

"Saya fikir Hadi Fayyadh perlu memperbaiki kedudukannya selain terus mengejar bola daripada menunggu bola datang kepadanya kerana gaya bermain Jepun berubah dengan pantas dalam setiap perlawanan," katanya.

Difahamkan, penampilan Hadi Fayyadh untuk kelab itu hanya dalam Liga-J Ikusei, satu pertandingan pembangunan bagi pemain profesional yang tidak dapat sentiasa bermain bagi kelab masing-masing.

Selain Fagiano Okayama, kelab lain yang turut mengambil bahagian ialah Gainare Tottori, Renofa Yamaguchi, Tokushima Vortis, Ehime FC dan Sanfrecce Hiroshima.

Untuk rekod, Hadi Fayyadh menjalani dua percubaan dengan Fagiano Okayama pada September dan November 2018 sebelum pengurusan kelab itu memutuskan untuk menawarkannya kontrak satu tahun dan impiannya bermain dalam Liga J2 terlaksana berikutan bantuan Yakult Malaysia.

-- BERNAMA
 

Tentang Penulis

Bernama

Komen