Inter masih pencabar Scudetto, kata Mancini

Oleh Nafis Abdullah 31 Mei 2020 38
Inter masih pencabar Scudetto, kata Mancini
Roberto Mancini mengakui Juventus memiliki kelebihan dalam perebutan kejuaraan Serie A tetapi dia menjangkakan saingan sengit untuk gelaran Scudetto sambil percaya Inter Milan masih mempunyai peluang.

Juve mendahului Lazio dengan satu mata di puncak liga menjelang aksi Serie A yang bakal bersambung 20 Jun depan ekoran penangguhan akibat wabak coronavirus.

The Bianconeri menewaskan Inter dalam aksi terakhir sebelum penangguhan itu pada 8 Mac lalu sekali gus mengatasi The Nerazzurri sembilan mata dengan kelebihan satu perlawanan.

Namun, pengendali skuad kebangsaan Itali, Mancini, sedar dengan kejutan yang berlaku sejak aksi Bundesliga di Jerman bersambung, di mana beberapa kemenangan tidak dijangka berlaku.

Bekas pengurus Inter itu percaya situasi sama mampu berlaku dalam Serie A dengan potensi untuk kejuaraan liga kembali ke San Siro walaupun akur kekuatan dimiliki Juve menjadikan mereka pilihan utama.

"Lazio dan Juve akan bersaing sehingga ke saat akhir," katanya.

"Namun, sejak aksi Bundesliga bersambung, faktor laman sendiri memberikan kelebihan. Saya fikir Inter memiliki peluang. Saya berpendapat akan ada beberapa kejutan.

"Bagaimanapun, jelas sekali Juve memiliki kelebihan kerana mereka mempunyai skuad yang besar."

Mancini juga menambah: "Semua pengurus akan berdepan masalah. Pemain kembali daripada latihan di rumah selama dua bulan.

"Kembali bekerja di atas padang serta beraksi serta-merta dalam saingan kompetitif tidak mudah.

"Tempo permainan akan lebih perlahan. Bola sepak di Jerman tidak memiliki rentak seperti sebelumnya dan dalam aksi pertama, saya fikir perlawanan di Itali juga akan sama."
 

Tentang Penulis

Nafis Abdullah

Komen