ICC: Jaringan Goretzka julang Bayern tundukkan Milan 

Oleh Staff Writer 24 Julai 2019 631
ICC: Jaringan Goretzka julang Bayern tundukkan Milan 
BAYERN MUNICH 1 AC MILAN 0 

Leon Goretzka meledak gol tunggal perlawanan untuk Bayern Munich menyerahkan kekalahan pertama kepada Marco Giampaolo di AC Milan dalam aksi Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) 2019, sebentar tadi. 


Giampaolo tiba daripada pesaing Serie A, Sampdoria, susulan peletakan jawatan Gennaro Gattuso pada penghujung musim 2018-19.

Giampaolo menanggung kekalahan sulung dalam sentuhan pertamanya setelah Goretzka merobek gawang pasukannya pada minit ke-48 untuk Bayern merakam kemenangan kedua dalam kempen ICC. 

Muka baru, Theo Hernandez, membuat penampilan peryama susulan perpindahannya dari Real Madrid sementara anak Paolo Maldini, Daniel, juga diletakkan dalam skuad utama Rossoneri.

Skuad kendalian Niko Kovac itu terlebih dahulu mempamerkan dominasi awal Bayern di Kansas City, namun peluang untuk mereka mencipta jaringan terhad. 

Satu percubaan Maldini meliar sementara rembatan deras pemain tengah Bayern, Renato Sanches, melepasi palang gol. 

Bagaimanapun, kelibat Hernandez berakhir di atas pengusung apabila dia terpaksa digantikan sebelum rehat ekoran kecederaan buku lali.

Bayern akhirnya memecah kebuntuan sejurus separuh masa kedua bersambung yang menyaksikan Joshua Kimmich bergandingan baik dengan Goretzka sebelum membuat sentuhan terakhir untuk memastikan bola melepasi jangkauan Gianluigi Donnarumma.

Patrick Cutrone yang dikaitkan dengan kelab Inggeris, Wolves, sepatutnya menyamakan kedudukan buat Milan selepas memintas hantaran Niklas Sule di depan gol namun pemain gantian itu gagal melepasi Sven Ulreich dalam situasi satu lawan satu tatkala permainan bersisa 26 minit lagi.

Bayern hampir menggandakan kedudukan, sembilan minit wisel penamat ditiupkan namun jaringan Jann-Fiete Arp itu dibatalkan kerana didakwa terkena tangannya terlebih dahulu sementara David Alaba turut mengalami nasib hampir serupa apabila usahanya dibatalkan kerana ofsaid. 



 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen