Juventus tempang tanpa Chiellini, kata Sarri 

Oleh Shaiful Shamsudin 15 Julai 2020 75
Juventus tempang tanpa Chiellini, kata Sarri 
Ketiadaan Giorgio Chiellini akibat masalah kecederaan dan kecergasan menjadi salah satu "kehilangan besar" buat pengurus Juventus, Maurizio Sarri, musim ini.

Pemain berusia 35 tahun itu menderita kecederaan lutut Ogos tahun lalu sekali gus menyisihkannya hingga Februari lalu dan dia sempat membuat beberapa penampilan Serie A sebelum liga ditangguhkan berikutan penularan wabak COVID-19.

Pertahanan tengah itu, bagaimanapun, masih belum tampil sejak saingan bersambung semula bulan lalu ekoran masalah berkaitan kecergasan, namun ditawarkan kontrak baru selama setahun yang akan mengekalkannya di kelab itu hingga 2021.

Sarri mengesahkan anak buahnya itu telah menjalani latihan penuh sejak seminggu yang lalu dan masih dianggap tonggak penting.

Berbicara menjelang kunjungan ke Sassuolo awal pagi esok,  Sarri berkata: "Ketiadaan Chiellini merupakan salah satu kehilangan besar musim ini.

"Dia merupakan pemain yang tahu bagaimana untuk merantai lawan. Dia telah berlatih bersama rakan sepasukan selama lima hari. Saya melihatnya semakin berkembang dan pada masa akan datang, dia akan memberikan sumbangan besar buat kami."

 


Bahagian benteng tengah sering mengundang sakit kepala kepada pengurus itu tatkala Merih Demiral masih menjalani pemulihan ekoran kecederaan lutut sementara Leonardo Bonucci pula dalam keraguan menghadapi Sassuolo. 

"Situasi Merih Demiral baik-baik saja tetapi dia memerlukan masa untuk kembali ke tahap asalnya," katanya, sebelum menambahkan: "Bonucci mempunyai masalah dengan kakinya yang perlu kami nilai hari ini."

Walaupun tercicir mata penting dalam dua perlawanan terakhir, Juve tetap menguasai puncak Serie A dengan kelebihan lapan mata di depan Inter dan Lazio.

Begitupun, Sarri tidak menjangkakan perlawanan terbuka di Sassuolo, yang membuat kebangkitan lewat untuk mengejar tempat ke Eropah memandangkan belum tewas dalam enam perlawanan dan memenangi empat daripadanya. 

"Sassuolo merupakan sebuah pasukan yang sebaris dengan Atalanta," katanya lagi. 

"Mereka mempunyai kesinambungan untuk sebuah projek, mereka teratur menerusi sentuhan pengurus yang pintar.

"Mereka dalam prestasi yang sangat baik dan merupakan pasukan yang berbahaya. Mereka telah meledak 17 gol dalam enam perlawanan, jadi mereka tidak akan menghadapi masalah untuk mencetak gol.

"Roberto De Zerbi sering mencetuskan impak besar untuk pasukannya. Dia adalah bintang muda paling menonjol. 

"Kami perlu setidak-tidaknya setara daripada segi semangat dan tekad kerana kami akan beraksi memburu Scudetto."

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen