KAFA lantik Mohamad Sabu sebagai penasihat

Oleh Bernama 17 Oktober 2019 2360
KAFA lantik Mohamad Sabu sebagai penasihat
Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) melantik Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, sebagai penasihat persatuan itu berkuat kuasa semalam.

Presiden KAFA, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, berkata persetujuan itu dicapai apabila beliau mengadakan pertemuan dengan menteri itu di Parlimen semalam.

"KAFA merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mohamad di atas kesudiannya menerima pelantikan sebagai penasihat persatuan kami.

"Beliau akan bertindak selaku penasihat tanpa mencampuri urusan Majlis Penasihat KAFA yang diwujudkan tiga bulan lalu dan berfungsi sebagai sokongan ke atas usaha menambah baik bola sepak Kelantan," katanya.

Sebelum ini, KAFA telah menubuhkan majlis penasihat bagi membantu penyumbangan idea dan pengalaman untuk membangunkan pasukan The Red Warriors (TRW) selepas pelantikan pimpinan baru persatuan itu Julai lalu.

Majlis penasihat itu dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah, dan dibarisi 10 individu berpengalaman dalam sukan bola sepak.

-- BERNAMA   

Tentang Penulis

Bernama

Komen