Kami tunjukkan kekuatan sebenar --  Icardi

Oleh Staff Writer 6 Oktober 2019
Kami tunjukkan kekuatan sebenar --  Icardi
Mauro Icardi percaya Paris Saint-Germain (PSG) semakin berkembang dalam setiap perlawanan selepas meraih kemenangan 4-0 ke atas Angers dalam saingan Ligue 1 di Parc des Princes, awal pagi tadi.

Pemain yang dipinjam daripada Inter Milan itu membuka akaun jaringannya di pentas Ligue 1 tatkala juara bertahan itu kini meraih kelebihan lima mata di puncak liga.

Pablo Sarabia memberikan PSG pendahuluan selepas 13 minit permainan sebelum Icardi menjaringkan gol keduanya dalam semua kejohanan tatkala Idrissa Gueye dan Neymar masing-masing menemui gol dalam babak kedua.

PSG kini menang lapan daripada sembilan perlawanan dalam semua kejohanan dan Icardi, yang turut menjaringkan gol ketika menewaskan Galatasaray 1-0 dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah pertengahan minggu ini, berasakan dia kini telah menambah keyakinan.

"Anda tahu bahawa pemain di sini memiliki kualiti yang tinggi," katanya.

"Ia pasukan yang kuat dan kami tunjukkannya pada hari ini di atas padang ketika berdepan skuad mantap daripada Angers. Kami mempersiapkan diri dengan baik dan kumpulan ini sedang berkembang.

"Perlawanan berjalan lancar. Saya mengharapkan jaringan itu di laman sendiri. Rakan sepasukan memberikan peluang untuk saya menjaringkan gol sebelum ini tetapi tidak berjaya.

"Jaringan ini bagus, ia penting untuk kami terus menjaringkan gol".

Gueye meraih gol pertama buat PSG sejak tiba daripada Everton dan membantu pasukannya sekali lagi tidak dibolosi.

Skuad kendalian Thomas Tuchel itu telah menang enam perlawanan Ligue 1 dan kesemuanya diperkuatkan oleh Gueye dalam kesebelasan utama.

"Ia bukan sekadar tugas saya, ia melibatkan orang di belakang kami, penjaga gol dan kerjasama seluruh pasukan," ujar pemain tengah Senegal itu.

"Kami gembira untuk pasukan ini. Kami menuntut persembahan lebih baik, sebab itu kami masih memberi tekanan walaupun mendahului 3-0.

"Anda perlu memberikan segalanya dan menikmati aksi di atas padang. Itu yang kami lakukan hari ini."

PSG akan berdepan Nice dalam aksi liga seterusnya, 18 Oktober ini.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen