Kejayaan julang UCL seperti tidak berlaku -- Oxlade-Chamberlain

Oleh Staff Writer 23 Ogos 2019 13010
Kejayaan julang UCL seperti tidak berlaku -- Oxlade-Chamberlain
Alex Oxlade-Chamberlain berkata kejayaan Liverpool menjulang trofi Liga Juara-Juara (UCL) seperti tidak berlaku ketika pasukan itu dahagakan lebih banyak gelaran.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu mengatasi seteru Liga Perdana Inggeris (EPL), Tottenham, untuk dinobat sebagai juara Eropah buat kali keenam.

Oxlade-Chamberlain terlepas hampir keseluruhan musim 2018-19 ekoran kecederaan lutut yang serius, namun telah menandatangani kontrak jangka masa panjang yang dilaporkan pemain itu kekal bersama pasukan sehingga 2023, semalam.

Pemain tengah skuad kebangsaan England itu berasakan keinginan kelab untuk terus mendakap lebih banyak kejuaraan adalah pembakar semangat Liverpool, yang memenangi dua aksi pertama EPL musim ini selepas menjulang Piala Super UEFA mengatasi Chelsea.

"Saya berasakan pasukan semakin meningkat naik. Walaupun gagal beraksi cemerlang, kami meraih keputusan yang positif," kata Oxlade-Chamberlain kepada laman web rasmi Liverpool.

"Pasukan dibarisi pemain-pemain berkualiti, bukan sekadar bakat tetapi perwatakan positif menyaksikan kami saling menghormati satu sama lain. Pengurus dan jurulatih, staf di bilik persalinan, mereka memiliki peranan tersendiri.

"Tahun lalu merupakan petanda kami berada di landasan tepat dengan menjulang trofi UCL. Hari ini, kejayaan itu seperti tidak pernah berlaku kerana Liverpool menyasarkan lebih banyak gelaran."
Pengurus pasukan, Klopp, turut senada dengan Oxlade-Chamberlain yang komited terhadap masa depannya kepada Anfield.

"Apabila saya mengetahui dia menandatangani kontrak baru bersama pasukan, emosi saya sama seperti penyokong Liverpool -- sangat gembira," kata Klopp.

"Ia membuktikan seorang pemain yang berkualiti meletakkan kepercayaan kepada projek kami di sini. Oxlade-Chamberlain merupakan seorang pemain yang berbakat dan kami amat memerlukan pemain sepertinya."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen