Kejohanan AFF B-18: Kemenangan bukti wibawa -- Maloney

Oleh Staff Writer 13 Ogos 2019 5392
Kejohanan AFF B-18: Kemenangan bukti wibawa -- Maloney
Ketua jurulatih skuad B-18 negara, Brad Maloney, menganggap kemenangan 3-0 ke atas Australia hari ini sebagai jawapan yang tepat untuk membuktikan kemampuan sebenar anak buahnya dalam saingan Kejohanan AFF B-18.

Tempias kecaman ekoran kekalahan pertama kepada tuan rumah, Vietnam, tempoh hari masih terasa dan kemenangan ke atas Singapura serta Kemboja belum cukup untuk Maloney berpuas hati.

Namun, kecemerlangan anak buahnya di Stadium Thanh Long petang tadi membuatkan Maloney lega.

"Ia adalah persembahan yang sangat baik daripada pemain. Mereka beraksi lebih bagus dalam setiap perlawanan dan menggunakan peluang yang ada," katanya.

Skuad kebangsaan mengejutkan Australia menerusi kemenangan 3-0 selepas jaringan Luqman Hakim Shamsuddin memberikan anak buah Maloney pendahuluan.

Kecemerlangan diteruskan oleh Azam Azmi Murad menerusi gol kedua pada minit ke-27 sebelum Luqman Hakim sekali lagi menggegar jaring enam minit sebelum rehat.

Bagi pengendali Australia, Gary Van Egmond, anak buahnya wajar dihukum kerana kerap memberikan ruang buat Malaysia melakukan asakan dan menghasilkan jaringan.

"Kami meraih pengalaman berharga hari ini. Kami berdepan pasukan yang pantas dan apabila dibolosi, ia semakin jelas. Kami tidak boleh berikan ruang tetapi itu yang kami lakukan," ujar jurulatih berusia 54 tahun itu.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen