Kejohanan AFF B-18: Maaf saya 'tertidur'

Oleh Staff Writer 8 Ogos 2019 66743
Kejohanan AFF B-18: Maaf saya 'tertidur'
Pemain tengah negara, Umar Hakeem Suhar Redzuan, mengakui hilang fokus dan berhadapan masalah komunikasi ketika jaringan Vietnam pada minit-88 sehingga mengubah nasib Malaysia dalam aksi pertama Kejohanan AFF B-18 di Stadium Thong Nhat, malam tadi.  

Ia minit ke-88 yang kejam.

Hasrat skuad bimbingan Brad Maloney itu untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata tidak tercapai apabila Malaysia dihukum dengan perbezaan satu jaringan, hanya disebabkan masalah komunikasi dan hilang fokus.

Produk Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu, yang menjadi pemain yang paling hampir untuk menyelamatkan situasi berkenaan, mengakui gagal melaksanakan tugasannya dengan cemerlang.

"Saya 'tertidur' ketika itu dan saya tidak sangka bola itu boleh masuk (ke dalam gawang). 

"Saya menjangkakan pemain di depan saya akan mengeluarkannya dan mungkin berlaku salah faham di situ," katanya. 

Kecewa, kesal dan rasa bersalah tidak dapat dibendung daripada riak wajahnya sebaik tamat permainan itu. 

Bagaimanapun, dia enggan tunduk dengan keadaan, malah yakin dia bersama-sama rakan yang lain akan bangkit untuk memastikan skuad negara lebih ampuh selepas ini.

"Kami perlukan sedikit masa lagi tetapi walau apapun yang berlaku, kami perlu berikan aksi sepasukan. 

"Ia bukan permulaan yang baik buat kami tetapi setiap pemain telah berusaha, nyata nasib tidak menyebelahi kami," katanya lagi. 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen