Kejohanan AFF B-18: Malaysia temui rentak kemenangan 

Oleh Staff Writer 9 Ogos 2019 14487
Kejohanan AFF B-18: Malaysia temui rentak kemenangan 
MALAYSIA 3 SINGAPURA 1

Skuad B-18 negara mendapat tonik terbaik dalam misi mempertahankan gelaran juara Kejohanan AFF B-18. 


Singapura, yang bangkit mengikat Thailand 1-1 dalam aksi pertama Kumpulan B, ditumbangkan 3-1 untuk Malaysia meraih kemenangan sulung dalam aksi di Stadium Thong Nhat, Ho Chi Minh City, sebentar tadi. 

Skuad bimbingan Brad Maloney itu berdepan tekanan tinggi selepas tewas tipis 0-1 kepada tuan rumah, Vietnam, kelmarin. 

Kurang seminit setelah wisel ditiupkan dan selepas beberapa sentuhan di kawasan sendiri, Singapura memberi amaran pertama dengan sepakan percuma yang terpaksa ditumbuk keluar penjaga gol negara, Muhamad Firdaus Irman Fadhil, sebelum skuad negara mula selesa menguasai bahagian tengah. 

Di sebalik potensi itu, serangan pertama yang dijana barisan kendalian Maloney itu meledak gol pertama dengan gerakan tersusun dari bahagian pertahanan untuk disudahkan Muhammad Firdaus Kaironnisam.

Mujur, penyudah terburu-buru pada minit ke-21 menafikan Anaqi Ismit untuk menghukum pertahanan juara bertahan itu selepas Ahmad Zikri Mohd Khalili tergelincir di kawasan sendiri. 

Gol tunggal itu kekal sebagai bekalan ke bilik persalinan selepas dua percubaan Luqman Hakim Shamsudin digagalkan, lebih-lebih lagi pada minit ke-33 ketika dia memintas hantaran lawan di bahagian pertahanan sebelum melakukan rembatan lemah ke dakapan penjaga gol, E. Prathip. 

Dalam situasi yang hampir sama, Muhammad Firdaus -- anak kepada bekas ketua pasukan negara, Kaironnisam Sahabudin -- membuktikan kewibawaan sentuhan penyudahnya pada minit ke-51 apabila mencetak jaringan kedua peribadi selepas merampas bola daripada kawalan Danial Scott Crichton dari sayap kiri untuk melencongkan bola melepasi Prathip. 

Skuad lawan kendalian Rob Servais itu mula menekan kubu Malaysia sebaik skuad negara mula mengendurkan asakan di kedudukan 2-0.

Akibatnya, Singapura dihadiahkan beberapa sepakan percuma berdekatan kotak penalti skuad remaja negara sebelum mereka merapatkan jurang apabila larian Muhammad Zamani Md Zamri pada minit ke-75 gagal dikekang. 

Tersentak dengan situasi itu, Malaysia kembali mengatur gerakan yang menyaksikan Muhammad Firdaus terlepas peluang menarik manakala pemain gantian, Muhammad Faris Kamardin, gopoh dalam kotak penalti lawan. 

Luqman akhirnya mencetak namanya selaku penjaring untuk meleburkan hasrat kebangkitan lawan dengan jaringan ketiga negara menerusi gelecekan di sayap kiri sebelum melepaskan rembatan.

Sementara itu, Kemboja melakar kejutan dengan menundukkan Thailand 4-3. 


 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen