Kelayakan AFC B-16: Peluang Malaysia sudah tertutup

Oleh Staff Writer 22 September 2019 27470
Kelayakan AFC B-16: Peluang Malaysia sudah tertutup
JEPUN 2 MALAYSIA 2

Peluang Malaysia untuk ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-16 2020 tertutup sudah apabila terikat 2-2 dengan Jepun dalam aksi terakhir Kumpulan J di Vientiane, Laos sebentar tadi.


Barisan pertahanan skuad muda negara itu, yang diterajui Adam Daniel Mohamad dan Daniel Edzuan Anuar, beraksi ampuh untuk mematahkan setiap serangan Jepun dalam babak pertama.

Bagaimanapun, Jepun menampilkan aksi lebih agresif sebaik bermula babak berikutnya.

Skuad Negara Matahari Terbit itu dihadiahkan sepakan penalti selepas Yoshiki Narahara dikasari penjaga gol negara, Zulhilmi Sharani, yang turut dilayangkan kad merah.

Rui Asako menyempurnakan peluang pada minit ke-64 itu untuk Jepun mengemudi permainan.

Berselang lapan minit, skuad negara kembali menyamakan kedudukan apabila Aliff Izwan Yuslan menyudahkan sepakan penalti selepas Khairil Mohd Zain dijatuhkan penjaga gol Jepun, Ginjiro Ikegaya.

Jaringan itu menyemarakkan keyakinan pemain negara sebelum Daniel Edzuan Anuar menanduk masuk bola daripada sepakan penjuru Muhammad Izrin Ibrahim pada minit ke-83.

Harapan itu jelas terlalu besar untuk dibawa skuad muda negara berkenaan menjelang ke penghujung perlawanan dengan Yamato Naito bertindak sebagai pemusnah impian itu menerusi jaringannya dalam waktu kecederaan.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen