Kelayakan AFC B-19: Aiman hargai sumbangan sepasukan 

Oleh Staff Writer 9 November 2019 524
Kelayakan AFC B-19: Aiman hargai sumbangan sepasukan 
Pemain tengah negara, Aiman Afif Md Afizul, terus menyerlah di depan pintu gol lawan selepas mencetak hatrik ketika bertemu Brunei Darussalam apabila menyumbangkan empat jaringan ketika membenam Kepulauan Mariana Utara 10-0 dalam aksi kelayakan Kejohanan AFC B-19 2020, petang semalam. 

Pemain kelahiran Kedah itu nyata masih belum puas apabila terus bernafsu dalam pemburuan gol. 

Setelah mencetak jaringan dalam dua perlawanan yang dianggap sebagai pemanas badan, ia umpama medan terbaik buat Aiman apabila benar-benar bersedia menjelang aksi penting dengan Thailand di Stadium Olimpik Phnom Penh, Kemboja, petang esok.

Lebih selesa melabelkan skuad kendalian Brad Maloney itu sebagai pasukan 'underdog', dia bertekad meneruskan kecemerlangan dalam memastikan tiga mata terakhir untuk skuad negara terus menguasai puncak Kumpulan G. 

"Saya beri pujian kepada rakan sepasukan yang tidak putus-putus memburu jaringan sebagai bekalan di peringkat kumpulan," katanya. 

Hasrat untuk membawa skuad negara ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-19 di Uzbekistan tahun depan begitu tinggi, justeru dia tidak rela mereka digelar sekadar jaguh apabila menentang skuad kerdil semata-mata.

"Jurulatih mempunyai taktikal tersendiri dan sebagai pemain, kami perlu bersedia," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen