Kelayakan AFC B-19: Kecederaan lutut Muslihuddin Atiq cetus gusar 

Oleh Staff Writer 7 November 2019 1560
Kelayakan AFC B-19: Kecederaan lutut Muslihuddin Atiq cetus gusar 
Jurulatih skuad B-19 negara, Brad Maloney, mengakui terpaksa membayar harga yang mahal demi kemenangan besar 11-0 ke atas Brunei Darussalam apabila pemain utama negara, Muslihuddin Atiq Mat Zahid, dikhuatiri mengalami kecederaan lutut serius.

Masih belum dapat dipastikan lagi tahap kecederaan pemain itu, namun ia ibarat perkembangan yang kurang baik buat kem negara.

Maloney mengakui keperluan Muslihuddin Atiq bersama pasukan sambil dia mengharapkan pemain kelahiran Terengganu itu tidak melewati situasi sukar agar sekurang-kurangnya mampu bersama skuad negara sempena aksi penting bertemu Thailand, Ahad ini.

"Dalam fikiran saya, ia membabitkan kecederaan lutut, jadi kami akan mengenal pastinya dengan lebih lanjut dalam sesi pemulihan pagi esok (tadi). 

"Kami akan menetapkan langkah selanjutnya selepas itu ," katanya selepas perlawanan. 

Merujuk kepada aksi cemerlang di Stadium Nasional Olimpik, Phnom Penh, Kemboja, malam tadi, skuad negara mengutip tiga mata penting menerusi kemenangan besar sambil pengendali dari Australia itu turut lega gawang negara tidak dibolosi. 

Kecemerlangan Luqman Hakim Shamsudin juga meraih pujian Maloney menerusi empat jaringan peribadi setelah anak jati Kelantan itu mencuri tumpuan dengan jaringan jarak jauh ketika menentang Kemboja dalam aksi pembukaan. 

"Luqman Hakim dikawal rapi oleh pihak lawan dan kami sudah menjangkakannya.

"Empat jaringan yang dihasilkannya adalah memuaskan dan melihat kepada kombinasi di jentera serangan seperti Aiman dan Muslihuddin Atiq, ia satu perkembangan yang positif."

Sementara itu, jurulatih Brunei, Ikhmarol Izzat Omar, mengakui kecewa dengan prestasi anak buahnya.

Tidak menjangkakan perbezaan jaringan yang begitu besar, namun keputusan itu benar-benar membuktikan jurang ketara di antara Malaysia dan Brunei. 

Rela atau tidak, Brunei terpaksa akur dengan dua kekalahan besar berturut-turut apabila terlebih dahulu melibatkan Thailand yang berkesudahan 0-9.

"Anak buah saya boleh beraksi lebih baik daripada ini. 

"Sasaran saya ialah mendekatkan jurang di antara kami dan Malaysia," katanya. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen