Kelayakan AFC B-23: Akhyar, Faisal pastikan Malaysia benam Filipina

Oleh Staff Writer 22 Mac 2019 2080
Kelayakan AFC B-23: Akhyar, Faisal pastikan Malaysia benam Filipina
MALAYSIA 3 FILIPINA 0

Malaysia memulakan kempen pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-23 dengan nota positif apabila menundukkan Filipina 3-0 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.


Jaringan berganda daripada Akhyar Rashid serta satu daripada pemain gantian, Faisal Abdul Halim, memberikan tiga mata pertama buat skuad negara bagi mencabar kedudukan pendahulu Kumpulan J, China, yang membelasah Laos 5-0 dalam aksi terdahulu.

Akhyar memberikan keyakinan awal buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu selepas menjaringkan gol pada minit kelima menerusi hantaran 'cut back' yang dilakukan Syahmi Safari.

Malaysia kemudian memaparkan penguasaan total dalam separuh masa pertama dan berkemungkinan meraih kemenangan lebih besar andai tidak dihampakan ketumpulan barisan penyerang yang diketuai Hadi Fayyadh Abdul Razak.

Bagaimanapun, Akhyar menggandakan kelebihan itu pada minit ke-31 untuk menyudahkan hantaran kuisan tumit gemilang Syamer Kutty Abba -- juga dengan penyudah menggunakan tumit.

Hadi Fayyadh sepatutnya menjadikan kedudukan 3-0 menjelang waktu rehat separuh masa, namun dia gagal memanfaatkan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol Filipina, Michael Asong.

Pelawat kian terdesak untuk memburu jaringan dalam babak kedua, namun Malaysia juga terlepas beberapa peluang keemasan.

Hadi Fayyadh sekali lagi mensia-siakan peluang di depan gawang apabila tolakan lemahnya tepat menuju ke arah Asong sebelum Faisal melepaskan rembatan yang terkena palang gol.

Faisal, bagaimanapun, menebus kegagalannya itu dengan menjaringkan gol solo menarik pada minit ke-82 untuk meletakkan Malaysia di tangga kedua Kumpulan J di belakang China yang berkelebihan dua jaringan.

"Banyak peluang yang kami cipta tetapi tidak disempurnakan. Itu sedikit mengecewakan dan kami perlu ambil iktibar. 

"Semua penyerang harus boleh menjaringkan gol kerana ia akan menjadi jurang yang sangat penting," ujar Kim Swee. 

Tambah penolong jurulatih skuad Filipina, Randolfo Clarino: "Sudah tentu kami tidak gembira. 

"Kami menghormati perlawanan ini dengan mempamerkan keberanian.

"Mungkin pemain (anda) mempunyai kefahaman yang berbeza (terhadap perlunya bersikap 'gentleman')," katanya menyorot kepada gol ketiga Malaysia yang dibantah pemain-pemain Filipina kerana mendakwa bola harus dikembalikan kepada mereka sebelum gerakan yang menghasilkan jaringan itu.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen