Kelayakan AFC B-23: Daniel sokong Safawi selaku kapten

Oleh Staff Writer 22 Mac 2019 572
Kelayakan AFC B-23: Daniel sokong Safawi selaku kapten
Pemain tengah skuad B-22 negara, Danial Amier Norhisham, mengakui pelantikan Safawi Rasid selaku kapten adalah tepat tatkala Malaysia akan berdepan Filipina dalam aksi pertama malam ini.

Malaysia bakal memulakan saingan Kumpulan J bagi kempen kelayakan Kejohanan AFC 2020 menentang Filipina di Stadium Shah Alam malam ini sebelum berdepan dua lagi pencabar, Laos dan China.

Safawi telah diberi amanah oleh pengendali, Datuk Ong Kim Swee, untuk memakai lilitan ketua pasukan dan Daniel melihat keputusan itu adalah langkah tepat berdasarkan impak yang diberikan oleh penggempur Johor Darul Ta'zim itu kepada pasukan kebangsaan sebelum ini.

"Jurulatih nampak apa yang ada pada diri Safawi. Saya menyokong dan fikir dia layak untuk mengetuai pasukan kali ini," katanya.

Dalam masa sama, dia yakin tidak akan berdepan masalah untuk membentuk gandingan ampuh di bahagian tengah bersama Nik Akif Syahiran Nik Mat walaupun sebelum ini kerap berganding dengan tonggak Pahang, Nor Azam Azih.

"Semua orang tahu kami menyasarkan untuk ke pusingan akhir di Thailand, jadi kami akan beri yang terbaik," tambah Daniel.

"Sebelum ini, Nik Akif sudah berada dalam pasukan B-23, jadi perkara itu tidak menjadi masalah untuk mendapatkan keserasian."

Sementara itu, ketua jurulatih China, Guus Hiddink, bersikap merendah diri apabila menyifatkan pasukannya tetap berdepan ranjau dalam saingan Kumpulan J.

China satu-satunya pasukan bukan dari benua Asia Tenggara dalam kumpulan itu tatkala jurulatihnya hadir dengan reputasi hebat pernah membawa Korea Selatan ke separuh akhir Piala Dunia 2002.

Namun, Hiddink tidak mahu memandang rendah cabaran pesaing dalam Kumpulan J seperti Malaysia, Filipina serta lawan mereka malam ini, Laos.

“Tidak adil untuk membandingkan dengan pasukan berstatus bintang yang beraksi dalam Piala Dunia buat sedekad lamanya tetapi saya akui mutu bola sepak Asia Tenggara telah meningkat naik,” kata Hiddink.

Pengendali Laos, V. Sundramoorthy, pula yakin anak buahnya bersedia untuk melakar kejutan dan memadamkan status pilihan yang digalas oleh China.

“Kami memiliki kelompok pemain muda yang bekerja keras dan kami berharap dapat menampilkan aksi terbaik menentang pasukan gergasi, China, dalam aksi pembukaan,” ujarnya.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen