Kelayakan Euro 2020: Bale bermain dalam kemarahan 

Oleh Staff Writer 10 Oktober 2019
Kelayakan Euro 2020: Bale bermain dalam kemarahan 
Gareth Bale mengakui bermain dalam "kemarahan" di tengah-tengah  kesamaran masa depannya di Real Madrid tatkala bakal mengharungi kempen kelayakan Euro 2020 bersama Wales. 

Zinedine Zidane memberitahu Bale bahawa dia bebas untuk pergi dalam jendela perpindahan lalu, namun bintang negara itu kekal di kelabnya untuk merebut tempatnya. 

Penyerang itu menjaringkan dua gol selain membekalkan dua bantuan jaringan dalam LaLiga musim ini walaupun timbul laporan yang mengaitkan pemain berusia 30 tahun tersebut mahu meninggalkan ibu kota Sepanyol itu pada akhir musim ini.

Bercakap sebelum aksi kelayakan menentang Slovakia awal pagi esok, Bale berkata: "Anda bermain dengan penuh emosi. Sudah tentu kemarahan membara di dalamnya tetapi saya tidak dapat memadamkannya daripada bermain dalam fikiran. 

"Saya cuba dan berikan yang terbaik sama ada di sini (dengan Wales) atau di Madrid dan saya akan terus melakukannya."

Pengurus Wales, Ryan Giggs, pula menambah: "Saya fikir ketika ini dari sudut luar, keadaan menjadi bertambah baik. Cara dia beraksi -- kerana itulah yang dimahukan pemain, mereka mahu mendapatkan minit permainan, mereka mahu beraksi dengan baik -- saya selalu mengatakan bahawa dia bersama sebuah kelab hebat.

"Sudah tentu, ia akan menimbulkan masalah kerana dia begitu hampir untuk pergi. 

"Tetapi perkara mungkin telah berubah. Dalam bola sepak, perkara boleh berubah dengan sekelip mata dan kini dia telah diturunkan. Dia disayangi, jadi dia gembira dan saya berharap dia dapat mengulangi aksinya ketika bersama Real Madrid.

"Jika Gareth Bale berada di kelab anda dan dia berlatih dengan baik dan mendapat peluang untuk beraksi, dia akan sentiasa membuatkan anda tertarik kerana dia boleh menghidupkan permainan. Dia boleh mencetak gol dan dia memiliki aset sedemikian.

"Jadi, saya tidak hairan dengan aspek itu. Cuma saya terkejut dengan apa yang berlaku pada musim panas lalu -- saya fikir semua orang di luar sana menganggap ia agak pelik tetapi segalanya kini seolah-olah telah tenang sedikit.

"Saya fikir itu sahaja yang anda mahukan -- untuk melihat pemain dalam prestasi baik buat kelab mereka dan kemudian membawanya ke arena antarabangsa."

Wales menuju ke Trnava dengan menduduki tangga keempat Kumpulan E, kelayakan Euro 2020, empat mata dipisahkan dengan pendahulu, Croatia, manakala tiga mata di belakang pasukan di tangga kedua yang bakal dihadapi, Slovakia.



 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen