Kelayakan Euro 2020: Ireland Utara dilabel pasukan berbahaya 

Oleh Staff Writer 10 Oktober 2019
Kelayakan Euro 2020: Ireland Utara dilabel pasukan berbahaya 
Ronald Koeman memberi amaran kepada barisan pemain Belanda bahawa pesaing kelayakan Euro 2020, Ireland Utara, adalah sebuah pasukan "mesin tempur" dan mampu 'menguasai anda' jika diberi kesempatan.

Belanda kini menduduki tempat ketiga Kumpulan C, tiga mata di belakang seteru mereka itu tetapi mempunyai kelebihan satu perlawanan menjelang pertembungan kedua-dua pasukan awal pagi esok. 

Kemenangan di Stadium Feyenoord akan meletakkan skuad kendalian Koeman itu menyamai mata yang dipungut skuad bimbingan Michael O'Neill itu serta pendahulu kumpulan, Jerman, iaitu 12 mata.

Begitupun, bekas pengurus Southampton dan Everton tersebut memberi amaran bahawa bukan mudah untuk menewaskan Ireland Utara -- yang memenangi empat perlawanan berturut-turut sebelum kekalahan 0-2 kepada Jerman di tempat sendiri bulan lalu.

"Mereka adalah mesin tempur," kata Koeman kepada pemberita. 

"Mereka mungkin tidak mempunyai struktur permainan atau kualiti teknikal tetapi ini adalah perlawanan yang penting. 

"Mereka adalah pasukan yang boleh membuatkan permainan menjadi sukar buat mana-mana lawan dan kami perlu melihat bagaimana untuk mencari jalan penyelesaiannya. Jika mereka boleh menghukum anda, maka mereka akan menguasai anda. Bersiap sedialah untuk itu.

"Rentak permainan mereka di tempat sendiri dan lawan boleh jadi berbeza. Saya fikir mereka mempunyai idea untuk cuba menghukum Jerman dan selama sejam, mereka mampu menghidupkan permainan dan mempunyai peluang yang lebih baik.

"Tetapi sebaik mereka ketinggalan 0-1, anda boleh lihat ruang mula terbuka dan Jerman mengambil kesempatan daripada situ."

Seandainya tumbang di Rotterdam, skuad Oranje bakal ketinggalan enam mata di belakang Ireland Utara, justeru Koeman mengakui pasukannya kini di bawah tekanan untuk meraih keputusan memberangsangkan sebelum pertemuan timbal balik di Belfast bulan depan. 

Belanda tewas 2-3 kepada Jerman di tempat sendiri dalam perlawanan terakhir di kandang sendiri pada Mac lalu, namun Koeman menaruh keyakinan bahawa pemain seperti Virgil van Dijk dan Frenkie de Jong mampu menanganinya. 

"Kami masih perlu melayakkan diri," tambahnya. 

"Kami akan menghadapi Ireland Utara dalam dua perlawanan berikutnya untuk menjamin tiket kelayakan. Ia bermula (esok) dan jika kami gagal mendapatkan keputusan yang dihajati, ia pasti akan menjadi sesuatu yang sangat memeritkan. 

"Belanda sering berdepan tekanan. Kami sentiasa bersedia mengharungi perlawanan di mana-mana sahaja dan kami memiliki kualiti untuk menjelmakannya. Saya berasakan pasukan ini begitu dahagakan kejayaan. 

"Tidak ramai pemain skuad ini yang pernah bermain dalam kejohanan besar dan mereka mahu berada di sana tetapi selalunya ia menuntut kemajuan. 

"Kedua-dua perlawanan menentang Ireland Utara sangat penting. Akan ada tekanan di hadapan tetapi pemain-pemain sudah terbiasa -- mereka bermain dengan kelab besar dan mereka harus menang, jadi tiada bezanya dengan situasi kami ketika ini."


 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen