Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia: Bertemu Tajikistan medan uji kemampuan skuad negara

Oleh Staff Writer 8 November 2019 39
Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia: Bertemu Tajikistan medan uji kemampuan skuad negara
Pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe, percaya pertemuan menentang Tajikistan esok mampu menjadi indikasi terbaik buat pasukannya sebelum berdepan Thailand dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Pendekatan skuad negara bertemu pasukan kerdil sebagai aksi pemanas badan untuk menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia sebelum ini sentiasa memakan diri.

Mereka yang garang membelasah Sri Lanka 6-0 kemudian gagal bermain baik dalam pertemuan menentang Vietnam apabila tewas 0-1 di tempat lawan bulan lalu.

Namun kali ini, skuad negara kembali menguji kekuatan dengan pasukan yang lebih ampuh, iaitu Tajikistan sebelum mengharungi aksi getir berdepan Thailand.

"Kami perlu berdepan pasukan yang lebih kuat untuk mendapatkan keyakinan dan belajar sesuatu daripada pasukan lawan secara taktikal dan teknikal," kata Cheng Hoe.

Tajikistan yang berada di ranking ke-116 dunia dijangka memberi cabaran hebat kepada barisan pemain negara dalam pertemuan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Seperti Malaysia, pasukan itu juga dalam persiapan untuk aksi kelayakan Piala Dunia apabila bertemu Myanmar di tempat lawan minggu hadapan.

"Saya menjangkakan pertemuan menentang Malaysia berlangsung sengit kerana kami juga memerlukan keputusan positif sebelum berdepan Myanmar dan dalam masa sama saya harap dapat membentuk skuad mantap daripada pertemuan kali ini," kata jurulatih Tajikistan, Usmon Toshev.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen