Khedira sedia hadapi aksi licik Mexico

Oleh Staff Writer 15 Jun 2018 323
Khedira sedia hadapi aksi licik Mexico
Pemain tengah Jerman, Sami Khedira, menjangkakan cabaran sukar bakal dihadapi pasukannya menjelang aksi berdepan Mexico, Ahad ini, tatkala pasukannya akan memulakan usaha mempertahankan kejuaraan Piala Dunia yang diraih empat tahun lalu.

Khedira merupakan salah seorang pemain yang membarisi skuad bimbingan Joachim Low itu sewaktu menjulang trofi Piala Dunia di Brazil pada 2014 dan akan sekali lagi menjadi tonggak utama buat Jerman di Russia.

Bagaimanapun, Mexico yang konsisten melayakkan diri ke peringkat kalah mati setiap kali beraksi dalam Piala Dunia dilihat tidak akan memberikan laluan mudah buat Die Mannschaft walaupun Jerman mengatasi lawan sama 4-1 ketika bertemu dalam saingan Piala Konfederasi 2017.

"Sudah pasti kami tidak boleh memandang rendah keupayaan Mexico, terutama apabila ia adalah perlawanan pertama Piala Dunia. Kami tidak pasti apa yang mereka boleh lakukan di permulaan saingan ini," katanya.

"Walaupun kami mengatasi mereka dalam Piala Konfederasi tahun lalu tetapi aksi ini tetap kami lihat secara serius."

Mexico tersingkir dalam pusingan kedua dalam enam kejohanan Piala Dunia yang terakhir, namun Javier Hernandez dan rakan sepasukannya dianggap berpengalaman untuk menghadapi cabaran di Russia.

"Saya beraksi bersama Chicharito di Real madrid. Dia adalah seorang pemain yang tidak mudah mengalah dan itu menjadikannya satu simbol buat Mexico.

"Dia sangat agresif dan tidak berhenti berlari. Chicharito juga sentiasa berusaha keras dan memiliki kemahiran teknikal yang baik."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen