Khedira tolak tawaran tiket pulang daripada wartawan

Oleh Staff Writer 21 Jun 2018 276
Khedira tolak tawaran tiket pulang daripada wartawan
Pemain tengah Jerman, Sami Khedira, menolak tawaran tiket penerbangan pulang buat dirinya dan rakan sepasukan sambil menegaskan mereka hanya memerlukannya selepas aksi final Piala Dunia 2018.

Jerman berdepan misi penting mendapatkan tiga mata selepas tewas mengejut 1-0 di tangan Mexico dalam aksi pertama, Ahad lalu, namun Khedira menegaskan skuad kendalian Joachim Low itu kekal optimis untuk mara ke pusingan kedua.

Pasukan Die Mannschaft itu akan berdepan Sweden, Sabtu ini, sebelum mengakhiri saingan peringkat kumpulan menentang Korea Selatan pada Rabu depan dan Khedira yakin cabaran mereka tidak akan tamat dalam hanya dua perlawanan.

Dia menolak apabila seorang wartawan dari Sweden menawarkannya tiket untuk pulang ke Jerman.

"Kami tidak perlukannya kerana kami tidak mahu pulang buat masa sekarang. Matlamat kami hanya mahu mencapai kemenangan," ujar Khedira.

"Selepas permulaan yang buruk, kami sedar ia menjadi sukar tetapi tetap berpegang kepada kekuatan pasukan. Kami mengenal pasti permainan dan menonton aksi Sweden. Kini, kami yakin akan menang.

"Saya rasa kami akan memerlukan tiket penerbangan pada 16 Julai," tambahnya.

Dalam masa sama, kenyataan Khedira itu juga dipersetujui penyerang, Timo Werner, sambil berpendapat bahawa lebih baik tewas dalam aksi pertama berbanding melalui kempen yang buruk di sepanjang Piala Dunia 2018.

"Sudah tentu kami berpeluang untuk menjulang Piala Dunia," kata Werner.

"Kami adalah Jerman dan mahu memenangi setiap perlawanan. Anda boleh tewas tetapi harus pantas bangkit untuk mendapatkan keputusan terbaik."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen