Kisah kami hampir sama, Klopp hormati Simeone

Oleh Staff Writer 17 Februari 2020 3491
Kisah kami hampir sama, Klopp hormati Simeone
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, menyanjungi Diego Simeone sambil mengatakan dia mempunyai cerita serupa dengan pengurus Atletico Madrid itu.

Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu akan mengunjungi Atletico dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi Rabu ini. 

The Reds yang berusaha mempertahankan kejuaraan mereka musim lalu bersiap untuk menghadapi kelab Sepanyol itu yang sedang bergelut.

Begitupun, Klopp tetap berwaspada terhadap ancaman Simeone dan Atletico, yang hanya meraih satu kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir. 

"Mereka sekadar merekodkan 25 gol dalam LaLiga tetapi hanya dibolosi 17 kali, ia satu catatan yang rendah," katanya kepada akhbar UK.

"Mereka mengalami krisis kecederaan dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Mereka kehilangan ramai penyerang tetapi (Alvaro) Morata sudah kembali di bangku simpanan (menentang Valencia Sabtu lalu).

"Saya juga mendapat perkhabaran bahawa (Diego) Costa juga telah kembali menjalani sesi latihan manakala Joao Felix sudah bersedia untuk diturunkan. Saya cukup pasti mengenai hal itu.

"Jika ada kelab yang boleh mendapatkan keputusan yang memberangsangkan, ia adalah Atletico. Saya amat menghormati Simeone, dia sedang mencuba bermacam-macam cara.

"Kisah kami agak mirip. Kami banyak mencuba dan tidak menang tetapi kami tetap teruskannya. Saya sukakan perkara seperti itu. Dia begitu kompetitif.

"Sebenarnya, kami mempunyai hubungan yang baik tetapi saya cukup yakin dia akan mengetepikannya di tepi padang kelak kerana dia begitu bersemangat."

 

Tatkala akan menghadapi Atletico yang sedang bergelut, Wanda Metropolitano akan menyorot kembali kenangan indah Liverpool yang menewaskan Tottenham dalam final UCL tahun lalu.

Namun, Klopp berkata pasukannya -- yang mendahului Liga Perdana dengan kelebihan 25 mata -- tetap fokus kepada tugasan mereka.

"Kami sedar bahawa ia hanyalah sebuah stadium tetapi ia adalah satu emosi yang positif apabila kami memikirkan stadium itu," katanya lagi.

"Ia adalah salah satu malam kami yang paling hebat dan saya yakin dengan anak buah saya sebaik sahaja melangkah masuk ke padang.

"Bagaimanapun, kami tidak akan pergi ke sana untuk mengenangkannya lagi. Sudah tentu tidak, kami sudah puas meraikannya."


Editor: Shaiful Shamsudin

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen