Koronavirus: Beraksi di stadium tertutup tidak seronok, kata Conte

Oleh Staff Writer 27 Februari 2020 101
Koronavirus: Beraksi di stadium tertutup tidak seronok, kata Conte
Antonio Conte mengakui perlawanan pasti berbeza jika dimainkan tanpa penyokong ketika Inter Milan akan menanti kunjungan Ludogorets di San Siro dengan stadium tertutup.

Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) mengumumkan bahawa perlawanan timbal balik Liga Europa itu akan dilangsungkan secara tertutup kerana kebimbangan penularan wabak koronavirus di Itali.

Tiga hari kemudian, Inter akan berkunjung ke laman pendahulu Serie A, Juventus, dengan hanya enam mata memisahkan kedua-dua pasukan dalam carta liga.

Masih belum ada sebarang pengesahan sama ada penyokong akan dibenarkan untuk menonton perlawanan  'Derby d'Italia' itu tetapi ketua jurulatih skuad Nerazzurri berkenaan berharap penyokong dapat dibenarkan untuk memenuhi Stadium Allianz pada hari perlawanan.

"Saya fikir bermain di stadium tertutup tidak seronok," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Bola sepak memerlukan orang awam untuk menikmati keseluruhan suasana di sekelilingnya.

"Itulah perkara terindah.

"Walaupun begitu, ia disebabkan oleh faktor kesihatan tetapi saya berharap agar segala-galanya akan kembali normal secepat mungkin," katanya.

Sebagai rekod, penularan wabak dari China itu turut menyaksikan pertemuan di antara Inter dan Sampdoria, Ahad lalu menjadi salah satu daripada empat perlawanan Serie A yang ditunda.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen