Liga KDM: Sepanggar ke final, rekod Semporna lebur

Oleh Willie Jude 22 September 2019
Liga KDM: Sepanggar ke final, rekod Semporna lebur
KDM Sepanggar meleburkan rekod tanpa kalah KDM Semporna untuk ke final Liga KDM Malaysia hari ini.

Aksi separuh akhir kedua di Tawau itu menyaksikan Sepanggar menewaskan Semporna 2-1 untuk ke final dengan agregat 3-2.

Semporna terlebih dulu berada di depan hasil jaringan penalti bekas kapten PKNS, Sharul Azhar Ture, pada minit ke-25.

Bagaimanapun, Sepanggar menyamakan kedudukan sebelum babak pertama berakhir menerusi jaringan Paskalis Ulu Menan pada minit ke-37.

Gol itu terhasil selepas satu gerakan dan hantaran menarik Yuhendri Rusdi yang kemudian disudahkan oleh pemain import dari Indonesia itu. 

Bersambung babak kedua, tuan rumah, Semporna, menggandakan usaha untuk sekali lagi berada di depan, namun beberapa percubaan berbahaya mereka dinafikan penjaga gol Sepanggar, Mohd Salawi Jasad.

Sebaliknya, Sepanggar yang sekali-sekala mencemaskan kubu lawan, memperoleh gol kedua pada minit ke-54 menerusi penjaring terbanyak, Mohd Razle Puteh, yang tenang menyempurnakan hantaran Mohd Hazrin Ismail untuk menjadikan kedudukan 2-1 sehingga tamat permainan. 

Penolong pengurus Sepanggar, Redzwan@Garin, ketika dihubungi berkata, beliau bersyukur dengan kemenangan itu, lebih-lebih lagi apabila pasukannya melangkah ke final. 

"Ia final kedua kami selepas turut layak dalam saingan Piala FA Liga KDM Malaysia dan ini sebenarnya adalah hasil usaha serta kerjasama kukuh di antara semua pihak yang terlibat."

Sepanggar akan berdepan KDM Telupid dalam final selepas pasukan itu menang dengan agregat 2-0 ke atas KDM Kudat.

Sementara itu, Sepanggar akan sekali lagi berdepan Semporna dalam final Piala FA. 

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen