Low puji reaksi Ozil selepas direhatkan

Oleh Staff Writer 27 Jun 2018 5552
Low puji reaksi Ozil selepas direhatkan
Mesut Ozil mempamerkan reaksi yang terpuji walaupun diletakkan di bangku simpanan ketika Jerman menewaskan Sweden 2-1, sekali gus berkemungkinan akan kembali dalam kesebelasan utama menjelang aksi bertemu Korea Selatan, kata Joachim Low.

Ozil terpaksa menanggung akibat daripada persembahan hambarnya sewaktu Jerman tewas mengejut 1-0 di tangan Mexico dalam perlawanan pertama sehingga pengurus Jerman, Low, membuat keputusan untuk merehatkannya bagi aksi di Sochi pada Sabtu lalu.

Jaringan pada minit-minit akhir permainan membolehkan skuad juara bertahan Piala Dunia itu menghidupkan peluang untuk meneruskan kemaraan walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Jerome Boateng diperintah keluar padang.

Bagaimanapun, Ozil dijangkan akan kembali membarisi kesebelasan utama untuk perlawanan di Kazan malam ini sambil Low memuji sikap yang ditunjukkan pemain Arsenal itu selepas direhatkan.

"Selepas aksi menentang Sweden, Ozil mempamerkan reaksi hebat ketika sesi latihan bagi seorang pemain yang tidak bermain," kata Low.

"Bagaimanapun, kami mempunyai pilihan untuk aksi pada malam ini. Terdapat 18 pemain yang boleh beraksi. Sebastian Rudy tidak boleh bermain kerana belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan patah hidung.

"Dia mungkin boleh memakai topeng tetapi ia tidak masuk akal. Mats Hummels juga boleh beraksi menentang Korea Selatan dan dia telah berlatih selama beberapa hari tanpa sebarang masalah," katanya.

Seorang lagi pemain yang dilihat berdepan masalah prestasi adalah penyerang, Thomas Muller, dan Low gembira dengan kesanggupan penggempur Bayern Munich itu untuk mengadakan perbincangan dengannya ketika peringkat awal saingan.

"Selepas aksi bertemu Mexico, kami berbual panjang dan cuba mengenal pasti corak permainannya menerusi rakaman video.

"Muller adalah seorang pemain yang sangat terbuka dengan sebarang komen dan dia sering mengkritik dirinya sendiri."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen