Lyon usaha kekalkan Fekir 

Oleh Staff Writer 12 Julai 2019 1720
Lyon usaha kekalkan Fekir 
Nabil Fekir masih boleh meninggalkan Lyon tetapi dalam yang sama, kelab Ligue 1 itu mendedahkan tidak akan melepaskan pemain lain selepas melalui tempoh bergolak. 

Pemain pertahanan berbakat, Ferland Mendy, dan bintang tengah, Tanguy Ndombele, masing-masing dilepaskan ke Real Madrid dan Tottenham sementara kelab itu akan memasuki musim 2019-20 dengan pengurus baru, Sylvinho.

Juninho Pernambucano pula akan bertindak sebagai pengarah bola sepak dan bekas pemain Brazil itu bertekad untuk mengekalkan pemain berbakat kelab itu. 

Ini bermakna Memphis Depay, Moussa Dembele dan Houssem Aouar akan dikekalkan. 

Bagaimanapun, ketua pasukan dan pemenang Piala Dunia, Fekir, masih memasang hajat untuk berkelana, apatah lagi kontraknya memasuki 12 bulan terakhir. 

"Buat masa ini, pemain yang kebarangkaliannya akan berpindah adalah Fekir," kata Juninho.

"Saya telah berbincang dengannya. Ia membabitkan perkara-perkara peribadi dalam hidupnya. Saya menterjemahkannya untuk pengurus (Sylvinho), beliau menyukainya secara peribadi.

"Sukar untuk meyakinkannya untuk kekal. Dia merupakan juara dunia dan pemain seangkatan dengannya telah pun angkat kaki. Perkara ini bukan rahsia lagi, jadi saya memberitahu anda kebenarannya.

"Kami mahu mengekalkannya ."

Arsenal dilaporkan memantau secara dekat situasi pemain antarabangsa Perancis itu yang turut dikaitkan dengan Liverpool, namun belum ada tawaran dikemukakan sejak Presiden Lyon, Jean-Michel Aulas, menyatakan kesediaannya untuk mendengar sebarang tawaran.

Pemain berusia 25 tahun itu tidak akan beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang kelab Switzerland, Servette, ekoran masalah perut. 

Juninho, yang ditemui ketika majlis pengenalan Youssouf Kone, turut mengesahkan perbincangan dengan pemain tengah Sampdoria, Joachim Andersen.

"Kami akan melangkah jauh dalam pasaran perpindahan pemain jika kami memuktamadkan perjanjian dengan Andersen. Saya amat berpuas hati," katanya.




 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen