Maaf, tidak sempat -- Nor Azam

Oleh Staff Writer 3 Oktober 2019
Maaf, tidak sempat -- Nor Azam
Pemain tengah negara, Nor Azam Azih, mengakui tidak kecukupan masa untuk pulih sebelum saingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 di samping akur andai namanya tersingkir daripada senarai akhir 23 pemain yang akan dikeluarkan jurulatih negara, Tan Cheng Hoe.

Ia merupakan kecederaan berulang selepas 2014 melibatkan buku lali kanan selepas aksi berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE), 10 September lalu.

Sehingga ke saat ini, Nor Azam masih berasa sakit dan gagal untuk berada dalam kelompok pemain cergas skuad negara.

Anak jati Pahang itu tidak mahu meletakkan harapan tinggi buat skuad negara bersedia dengan sebarang kemungkinan namanya mungkin akan disingkirkan daripada pilihan Cheng Hoe.

"Mungkin tidak sempat kerana hanya beberapa hari sahaja lagi sebelum perlawanan bertemu Vietnam di Hanoi. Buat masa ini, saya meletakkan tumpuan kepada proses pemulihan dan rehabilitasi sahaja," katanya.

Kesakitan yang dialami turut memungkinkan ketiadaan kelibat Nor Azam bersama Pahang untuk aksi separuh pertama Piala Malaysia bertemu Kedah, 19 Oktober ini.

"Ia adalah kerugian bagi saya, namun saya perlu positif kerana masih terdapat banyak lagi perlawanan akan datang," tambahnya.

Ketika ini, senarai pemain cedera dalam skuad negara semakin bertambah. Selain daripada Nor Azam dan J. Partiban, Shahrel Fikri Md Fauzi antara nama baru yang mengisi senarai pemain cedera kali ini.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen