Messi buat skuad Argentina menangis -- Di Maria

Oleh Staff Writer 4 Oktober 2019
Messi buat skuad Argentina menangis -- Di Maria
Angel Di Maria mendedahkan Lionel Messi membuatkan rakan sepasukan skuad Argentina menangis selepas memberikan ucapan susulan kekalahan di tangan Brazil dalam saingan Copa America.

Argentina tewas 2-0 di peringkat separuh akhir di Belo Horizonte kepada Brazil yang akhirnya bergelar juara, Julai lalu.

Messi mengetuai pasukan kebangsaannya dan berbangga dengan persembahan mereka dalam kejohanan itu, setelah menundukkan Chile dalam aksi penentuan tempat ketiga.

Skuad La Albiceleste itu masih belum menjulang sebarang kejuaraan utama tetapi Di Maria terangsang dengan apa yang diucapkan Messi.

"Dia memberikan kata-kata yang indah apabila kami ditewaskan oleh Brazil," katanya kepada ESPN Argentina. 

"Messi memberitahu bahawa dia berbangga dengan skuad kebangsaan yang kami miliki. Walaupun kami tidak bersama dalam tempoh lama memandangkan ada yang tidak dipanggil menyertai skuad kebangsaan sebelum ini, namun ia seperti sudah lama.

"Dia berkata kami menuju arah yang sama sejak hari pertama. Dia berbangga dengan komitmen menyarung jersi pasukan yang ditunjukkan pemain muda dan jika mereka memberikan segalanya seperti dalam Copa America, ia faktor mengapa mereka berada di situ.

"Sebaik sahaja dia menamatkan ucapan, semua orang menangis kerana tersentuh dengan ucapannya, terutama pemain muda."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen