Nishikawa bantu Jepun juarai Kejohanan AFC B-16 kali ketiga

Oleh Bernama 7 Oktober 2018 5510
Nishikawa bantu Jepun juarai Kejohanan AFC B-16 kali ketiga
Jepun memenangi Kejohanan AFC B-16 buat kali ketiga setelah menang tipis 1-0 ke atas Tajikistan dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil,  malam ini.

Untuk rekod, Jepun pernah memenangi gelaran sama pada 1994 dan 2006.

Jun Nishikawa muncul wira skuad muda Samurai Biru dalam perlawanan berkenaan apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-62.

Lebih manis, Nishikawa diumumkam sebagai pemain paling bernilai  kejohanan manakala pasukan Jepun menerima anugerah ‘Fair Play’ setelah hanya mengutip empat kad kuning sepanjang kejohanan.

Dalam aksi malam ini, penguasaan bola jelas memihak kepada Jepun yang melakukan serangan bertali arus ke kubu Tajikistan, namun kekebalan benteng pertahanan lawan selain ketangkasan penjaga gol, Mukhriddin Khasanov menyaksikan perlawanan berkesudahan seri tanpa jaringan sehingga tamat separuh masa.

Sebaik sahaja perlawanan disambung, skuad muda Samurai Biru kembali menggandakan asakan untuk memburu gol pembukaan.

Mereka mendahului pada minit ke-57 menerusi Ryuma Nakano hasil hantaran Keita Nakano, namun gol berkenaan tidak disahkan pengadil perlawanan kerana seorang lagi pemain Jepun, Shoji Toyama, berada di kedudukan ofsaid.

Nishikawa memastikan kejuaraan ketiga untuk skuad kendalian Toshiyo Moriyama itu apabila melepaskan rembatan leret hasil hantaran Ryuma Nakano pada minit ke-62 dan keputusan 1-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Untuk rekod, Jepun dan Tajikistan layak ke Piala Dunia B-17 di Peru tahun depan setelah mara ke peringkat separuh akhir Kejohanan AFC B-16.

Mereka diiringi oleh Australia dan Korea Selatan yang kalah di peringkat separuh akhir sebelum ini.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen