Olic sangka penyingkiran Jerman satu jenaka

Oleh Staff Writer 1 Julai 2018 701
Olic sangka penyingkiran Jerman satu jenaka
Pembantu jurulatih Croatia, Ivica Olic, menyangka berita Jerman tersingkir daripada Piala Dunia adalah satu jenaka ketika dia diberitahu tentang perkara itu.

Skuad kendalian Joachim Low itu disingkirkan daripada saingan di Russia selepas tewas 2-0 di tangan Korea Selatan, sekali gus hanya mengutip tiga mata dalam aksi keseluruhan peringkat kumpulan.

Juara bertahan itu merupakan salah satu pasukan pilihan di Russia dan Olic, yang menghabiskan tempoh 12 tahun di Jerman ketika bergelar pemain, mengakui dia sukar mempercayai berita penyingkiran itu.

“Selepas kemenangan saat-saat akhir ketika bertemu Sweden, semua dalam kem Croatia menganggap ia adalah sifat semulajadi Jerman,” kata Olic.

“Saya tidak menyaksikan perlawanan di antara Jerman dan Korea Selatan kerana berada di padang latihan bersama pasukan. Kemudian, saya diberitahu dan memikirkannya adalah satu jenaka. Saya tidak dapat mempercayainya.

“Bagaimanapun, sejak daripada awal saingan, Jerman dilihat gagal mengawal permainan mereka.”

Berbeza dengan Jerman, Croatia mempamerkan aksi cemerlang dalam Piala Dunia sambil diketuai oleh Luka Modric yang sering mendominasi bahagian tengah padang.

Mereka akan berdepan Denmark pada awal pagi esok dan Olic menjelaskan semangat dan keinginan tinggi telah memberi kesan kepada cabaran mereka di Russia.

“Saya rasa Croatia mempunyai genetik yang baik.

“Kami adalah pejuang tetapi kami juga berusaha keras. Selain itu, sukan adalah satu keghairahan buat kami.”
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen