Overmars: Jual Ozil, beli Ziyech daripada Ajax

Oleh Staff Writer 16 Julai 2019 2947
Overmars: Jual Ozil, beli Ziyech daripada Ajax
Arsenal patut memikirkan untuk menjual perancang utama, Mesut Ozil, dan mendapatkan Hakim Ziyech daripada Ajax, kata bekas bintang The Gunners, Marc Overmars.

Ozil menjadi tumpuan utama di Arsenal tatkala penyokong tidak berpuas hati dengan prestasinya dalam beberapa tahun terakhir walaupun bergelar salah seorang pemain yang menerima bayaran tertinggi di England.

Pemain Jerman itu gagal menarik perhatian pengendali, Unai Emery, sehingga menyaksikannya hanya tampil 20 kali dalam kesebelasan utama musim lalu.

Dalam masa sama, Ziyech merupakan pemain tengah menyerang yang rajin dan menjadi watak utama dalam membantu Ajax mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah musim lalu dan kini dilaporkan hanya bernilai kurang daripada EUR35 juta (RM162 juta).

Legenda Belanda yang kini bergelar pengarah teknikal Ajax, Overmars, mendakwa dia telah membantu Arsenal untuk menggantikan Ozil dengan Ziyech tetapi tidak diendahkan.

"Saya agak terkejut kerana tiada sebarang usaha mendapatkan Ziyech sehingga kini," katanya.

"Saya rasa dia beraksi semakin bagus setiap tahun dan statistik membuktikannya. Banyak kelab melihat perkembangan itu.

"Mereka melihat jumlah nombor berbanding apa yang dipersembahkan serta apa yang berlaku di sekelilingnya. Saya rasa Ziyech lebih bagus berbanding Ozil.

"Saya katakan kepada Arsenal untuk menjual Ozil dan anda akan mendapat Ziyech pada harga separuh daripa itu tetapi mereka tidak mendengar. Jadi, dia hanya akan kekal dengan kami."

Seorang lagi bintang Ajax yang hangat dikaitkan dengan beberapa kelab adalah pemain sayap Brazil, David Neres, yang turut menikmati kempen cemerlang.

Atletico Madrid dilaporkan muncul pilihan utama untuk mendapatkannya dan Overmars mengesahkan tawaran sudah diterima sambil satu lagi tawaran akan dibincangkan dalam masa beberapa hari lagi.

"Minggu depan, kami akan adakan perbincangan mengenainya," tambah Overmars.

"Buat Neres, satu tawaran lengkap sudah menunggu daripada sebuah kelab.

"Kami akan membincangkannya kemudian tetapi tujuannya untuk memastikan kami sentiasa mengemudi situasi itu. Dia berpeluang berhijrah ke China hujung tahun lalu tetapi kami tidak melepaskannya.

"Lihat bagaimana ia berfungsi bersama Ajax dan juga dirinya. Kini dia mewakili Brazil."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen