Pemenang Piala Dunia 2014 berhijrah ke Russia

Oleh Staff Writer 1 Ogos 2018 701
Pemenang Piala Dunia 2014 berhijrah ke Russia
Pemenang Piala Dunia 2014, Benedikt Howedes, bersetuju dengan kontrak selama empat tahun untuk menyertai juara Russia, Lokomotiv Moscow, sekali gus menamatkan tempoh khidmat yang lama bersama Schalke.

Pemain antarabangsa Jerman itu memulakan kesemua perlawanan sewaktu pasukan bimbingan Joachim Low mencipta kejayaan di Brazil dalam saingan Piala Dunia 2014.

Bagaimanapun, pemain berusia 30 tahun itu dihimpit pelbagai episod kecederaan dalam beberapa tahun terakhir dan hanya sempat melakukan tiga penampilan bagi saingan Serie A sewaktu dipinjamkan ke Juventus, musim lalu.

Apa yang menarik, Lokomotiv mendedahkan hasil pemeriksaan kesihatan yang diadakan di Itali tidak menunjukkan sebarang sebab untuk menghalang Howedes daripada menyertai mereka.

Howedes menghabiskan masa selama 16 tahun bersama Schalke, berkembang di dalam pasukan sehingga bergelar kapten kelab. Dia beraksi dalam 240 perlawanan Bundesliga dan merupakan sebahagian daripada pasukan yang menjulang Piala Jerman pada 2011.

"Pada musim panas lalu, Howedes cuba mencari cabaran baru bersama Juventus," kata Pengarah Sukan Schalke, Christian Heidel.

"Kami mengucapkan selamat maju jaya buat dia dalam karier bersama Lokomotiv Moscow yang cemerlang pada musim lalu."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen