Perez, Fati bukti produk La Masia boleh bersaing di Barca

Oleh Staff Writer 11 Disember 2019 355
Perez, Fati bukti produk La Masia boleh bersaing di Barca
INTER MILAN 1 BARCELONA 2

Carles Perez berasakan dia dan rakan sepasukannya daripada Akademi Barcelona, Ansu Fati, yang menjadi penjaring gol ketika mewaskan Inter Milan 2-1 dalam Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi, telah membuktikan bahawa akademi La Masia itu masih relevan. 


Barca bergelut untuk menewaskan Inter di San Siro dan hanya mengesahkan kemenangan menerusi jaringan Fati pada minit ke-86.

Ia menjadikan penyerang berusia 17 tahun itu sebagai penjaring termuda sepanjang sejarah Liga Juara-Juara.

Keputusan itu juga menyaksikan Inter terpaksa ke Liga Europa selepas menamatkan saingan Kumpulan F itu di tangga ketiga.

Perez menjaringkan gol pembukaan Barca menerusi penyudah tenangnya dan dia mempertahankan La Masia, yang dikritik hebat beberapa tahun ni kerana kekurangan pemain yang dapat menembusi pasukan utama, selepas tamat perlawanan.

"Ia sesuatu yang hebat apabila kedua-dua kami masih di sini," katanya kepada Movistar.

"Saya dan Ansu adalah contoh daripada La Masia jika anda tidak dapat menembusinya (pasukan utama).

"Barca mempercayai bakat daripada akademi dan itulah perkara paling penting," katanya.

Pengurus, Ernesto Valverde, turut bercakap mengenai kedua-dua gol itu dan kagum dengan rekod yang dilakar Fati.

"Carles boleh menghidu peluang untuk menjaringkan lebih banyak gol dan caranya melakukan penyudah amat-amat menarik.

"Ansu dilahirkan untuk menjaringkan gol dan walaupun dia mengalami sedikit kesakitan, kami mahu memberikannya minit permainan.

"Dan dia adalah pemain Barca yang memecahkan rekod penjaring (termuda) yang membuatkan kami amat gembira," katanya.

Barca mengesahkan tempat selaku juara kumpulan dan akan mengetahui lawan mereka dalam pusingan 16 dalam undian Isnin ini.

Skuad Catalan itu akan bertemu Real Sociedad dalam LaLiga hujung minggu ini sebelum menghadapi seteru tradisi, Real Madrid, dalam pertembungan 'El Clasico', Rabu depan.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen