Perjanjian berbeza -- Surendran kupas isu bonus skuad Selangor 2005

Oleh Ammar Hakim 13 Julai 2020 445
Perjanjian berbeza -- Surendran kupas isu bonus skuad Selangor 2005
Isu pembayaran bonus skuad Selangor tahun 2005 menjadi topik hangat ketika ini namun harus difahami -- bonus yang dijanjikan oleh pihak pengurusan berbeza dengan bonus yang dipersetujui bersama pihak lain, isu ini dikupas dengan lebih lanjut bersama dengan bekas pemain Selangor, Shukor Adan dan D. Surendran.

Menurut Surendran, bonus yang dijanjikan pada 2005 telah dilunaskan tetapi bukan pada jumlah yang sebenar. Bagi situasi Jamsari Samian, yang kecewa dengan janji yang diberikan selepas membantu pasukan meraih kejuaraan treble skuad Selangor, Surendran menyatakan bahawa ada perjanjian yang lain tetapi itu melibatkan individu dan bukan seluruh pasukan.

"Perjanjian yang telah ditetapkan kepada pemain Selangor pada 2005 seperti Jamsari, Khalid Jamlus serta K. Sanbagamaran adalah berbeza pemain lain yang telah ditetapkan selepas menjuarai tiga piala itu," kata Surendran ketika diwawancara oleh wartawan Nadi Arena, Irfan Ali.

Bagi kapten pasukan Selangor tahun 2005, Shukor, menegaskan setiap pemain sepatutnya melihat kepada diri sendiri jika gagal mengatur rancangan selepas persaraan.

"Saya berasakan kesalahan harus diletak kepada diri sendiri. Saya telah beraksi dalam generasi terdahulu dan sehingga kini. Perkara paling penting adalah pengurusan wang yang sangat penting," kata Shukor.

"Istilah sebagai pemain bola sepak, anda akan disanjung hanya ketika beraksi dan selepas anda akan dilupakan setelah bersara. Sebagai pemain, kita perlu sedar diri dan percaya Allah yang memberikan rezeki kepada kita semua.

"Jangan sampai ke satu tahap untuk melabel bermain bola sepak tidak memiliki masa depan kepada generasi muda. Apa-apa sekalipun kita harus menuding jari kepada diri sendiri dan menerima Allah yang menentukan segala-galanya."

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar, menjelaskan tiada halangan untuk bersemuka dengan wakil Selangor yang berhadapan isu dengan pengurusan terdahulu.

Namun, jika mereka mahu membuat sebarang tuntutan, dokumen sah harus dibutirkan bagi membolehkan isu ini dipanjangkan.

"Sekiranya ada isu melibatkan Jamsari dan rakan sepasukan lain memiliki hitam putih, kami tidak masalah untuk berbincang perkara ini. Pihak FAS tidak memiliki sebarang masalah untuk membuat perbincangan," katanya.

Tegasnya lagi, skuad 2005 amat penting dalam mencorak sejarah kejayaan Selangor dan sebarang kesukaran, FAS sedia untuk dihubungi bekas pemain terlibat untuk berbincang selepas timbul dakwaan persatuan gagal melunas janji melibatkan keseluruhan pasukan utama ketika itu.

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen