Piala Airmarine: Oman pamer aksi garang ke final

Oleh Staff Writer 20 Mac 2019 8417
Piala Airmarine: Oman pamer aksi garang ke final

OMAN 5 AFGHANISTAN 0 

Oman melaungkan amaran awal betapa mereka pasukan terkuat dalam Piala Airmarine apabila menundukkan Afghanistan 5-0 untuk ke final sambil menantikan pemenang perlawanan di antara Malaysia dan Singapura, malam ini. 


Oman, pasukan di tangga ke-90 dunia, mengasak kubu Afghanistan sebaik perlawanan bermula dan menampilkan keinginan yang tinggi untuk meraih kemenangan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi. 

Seawal minit kesembilan, ketua pasukan, Ahmed Mubarak Al-Mahaijri, membuka tirai jaringan untuk Oman memulakan dominasi perlawanan.

Ia juga merupakan gol ke-22 Al-Mahaijri daripada 168 penampilan bersama Oman.

Afghanistan lebih banyak bertahan, namun itu tidak cukup untuk menafikan gol kedua Oman yang muncul pada minit ke-27.

Kali ini giliran Raed Ibrahim Saleh yang bertanggungjawab dalam menggandakan jaringan Oman denggan menggelecekkan penjaga gol lawan sebelum merembat masuk daripada sudut yang semakin menyempit.

Oman menutup babak pertama dengan menjaringkan gol ketiga menerusi Mohammed Al-Balushi.

Skuad dengan jolokan Samba Al Khaleej (Samba Negara Teluk) itu terus mengukuhkan kedudukan apabila menambah gol keempat yang menyaksikan Abdulaziz Al-Muqbali mencetak nama selaku penjaring.

Derita Afghanistan terus berpanjangan apabila pemain gantian, Mus Salam Akaak, menebus dua kegagalan awalnya menyempurnakan peluang dengan  menjaringkan gol kelima pada hujung permainan untuk membawa Oman ke pentas penentuan Sabtu ini. 

"Bukan mudah (untuk beraksi di bawah cuaca panas) tetapi kami memulakan perlawanan dengan begitu baik. 

"Kami memiliki peluang lebih awal untuk menggandakan kedudukan tetapi apapun, barisan pemain mempamerkan aksi berteknikal di gelanggang lawan selain mencipta deretan peluang," ujar pengendali Oman, Erwin Koeman, adik kepada jurulatih terkenal dari Belanda, Ronald. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen