Piala Cabaran: TRW tumbang di Kota Bharu

Oleh Farizal Yusoff 15 Ogos 2019 3294
Piala Cabaran: TRW tumbang di Kota Bharu
KELANTAN 0  JDT II  1

Kali pertama beraksi dalam saingan Piala Cabaran, Kelantan gagal menahan asakan skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) II apabila tumbang 1-0  di laman sendiri, sebentar tadi.


Skuad Harimau Selatan melakukan asakan bertali arus dalam 15 minit pertama perlawanan dan mendapat dua peluang terbuka melalui tandukan Mohamad Hariz Kamaruddin dan sepakan kencang Mohamad Ghaddar namun semuanya berjaya ditangkap kemas penjaga gol, Mohammad Fikri Che Soh.

Penyerang muda, Nik Azli Nik Alias, melepaskan rembatan kencang yang berjaya dihalang penjaga gol JDT, Muhammad Haziq Nadzli, pada minit ke-17 sebelum Md Rozaimi Abd Rahman membalas menerusi sepakan percuma cantik, seminit kemudian.

Kesilapan kapten, Farisham Ismail di dalam kawasan sendiri digunakan sebaiknya oleh Nicolas Alberto Fernandez yang berjaya melambungkan bola mencari kepala Ghaddar untuk jaringan pertama JDT II pada minit ke-32.

Bersambung babak kedua, menerusi satu serangan balas pantas, Nik Akif Syahiran Nik Mat berjaya merembat kencang dari luar petak penalti namun ditepis keluar Muhammad Haziq pada minit ke-57.

Minit ke-70, Ghaddar berjaya lolos daripada kekangan benteng pertahanan The Red Warriors, namun rembatan leretnya berjaya dihalang Mohammad Fikri. 

Penyerang import Kelantan, Seydi L'Imam, hampir menjaringkan gol penyamaan tuan rumah namun sepakan leretnya agak lemah biarpun Muhammad Haziq sudah tertewas pada minit ke-77.

Ketika aksi berbaki Lima minit, pengendali The Red Warriors, Yusri Che Lah, mengeluarkan L'Imam dan memasukkan Hakimi Abdullah untuk mencari gol penyamaan tetapi pertahanan JDT II yang diketuai kapten, Mohd Syakir Shaari, kental bertahan.


Kredit Foto: Kelantan FA Red Warriors
 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen