Piala Global Yakult B-12: Bakat cilik negara terima pengiktirafan selain muncul juara 

Oleh Staff Writer 16 September 2019 28
Piala Global Yakult B-12: Bakat cilik negara terima pengiktirafan selain muncul juara 
Malaysia membuktikan masih mempunyai bakat luar biasa di peringkat akar umbi selepas skuad Malaysia Warrior menjuarai Kejohanan Piala Global Yakult B-12 2019 di Osaka, Jepun, hari ini. 

Anak buah Mohd Redzuan Mustapa itu membenam wakil tuan rumah, Ventforet Kofu, 2-0 dalam aksi final untuk bergelar juara edisi sulung kejohanan itu. 

Ketua jurulatih skuad itu mengakui bahawa sebelum ini, dia tidak menaruh harapan tinggi ekoran kesuntukan masa dengan tempoh latihan yang singkat untuk mempersiapkan pasukan, iaitu hanya dua hari. 

"Kami datang ke sini dan menjadi johan dengan bertemu pasukan-pasukan hebat yang ada nama di Jepun. 

"Kami boleh beri saingan, serap tekanan dan tahap persembahan pemain adalah lebih baik," katanya di Pusat Latihan Bola Sepak J Green Sakai.

Dia berharap skuad kendaliannya itu dapat meneruskan kemaraan di peringkat lebih tinggi selepas membawa haluan masing-masing, bermula tahun depan. 

"Saya belum tahu lagi, mungkin sebahagian daripada mereka akan diserapkan dalam Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

"Saya harap pihak-pihak yang bertanggungjawab boleh melakukan sesuatu, misalnya pasukan ini dikekalkan," tambahnya.

Sementara itu, kejayaan Malaysia Warrior itu diiringi dengan pencapaian cemerlang pemainnya, Muhammad Azmer Masri Ahmad, yang meraih gelaran pemain terbaik kejohanan.

"Saya gembira (bergelar) juara di Jepun. 

"Terima kasih kepada ibu bapa, kawan-kawan dan barisan jurulatih," kata Azmer.

Pengarah Urusan Yakult Sdn Bhd, Hiroshi Hamada, teruja dengan kemenangan wakil negara selain berharap barisan pemain mampu mengekalkan kecemerlangan pada masa depan.

Selain itu, beliau akan meneruskan program dalam mencari bakat muda untuk melahirkan lebih ramai lagi bintang bola sepak Malaysia. 

"Saya tidak sangka Malaysia Warrior boleh meraih kejuaraan, begitu juga dengan kelab lain.

"Pada awalnya, ramai yang meramalkan Kofu akan bergelar juara," katanya. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen