Piala Super UEFA: Pedro anggap Van Dijk setaraf Ramos 

Oleh Staff Writer 14 Ogos 2019 4753
Piala Super UEFA: Pedro anggap Van Dijk setaraf Ramos 
Penyerang Chelsea, Pedro, membandingkan Virgil van Dijk dengan rakan sepasukan di kem Sepanyol, Sergio Ramos, menjelang pertemuan Piala Super UEFA dengan Liverpool.

Skuad kendalian Frank Lampard itu yang menjuarai Liga Europa di bawah bimbingan Maurizio Sarri musim lalu, bakal membuat perhitungan dengan pemenang Liga Juara-Juara (UCL) itu di Istanbul awal pagi esok. 

Van Dijk memainkan peranan penting ketika The Reds muncul juara Eropah buat kali keenam dan menduduki tempat kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan catatan 97 mata.

Pertahanan tengah itu dinamakan sebagai Pemain Terbaik Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA) susulan prestasi jitu. Sehubungan itu, Pedro menyamakan bintang Belanda berkenaan dengan kapten Real Madrid, Sergio Ramos.

"Mereka adalah pertahanan tengah yang sangat hebat, mungkin pada ketika ini mereka adalah yang paling menonjol," katanya.

"Sergio Ramos cukup bagus, saya amat mengenalinya: seorang pertahanan yang hebat, sangat bagus menguasai bola, begitu juga Van Dijk: sangat kental, sangat bagus di udara dan mampu mencetak gol.

"Dia mengharungi musim yang baik dengan Liverpool  musim lalu, dia melalui musim yang hebat untuk memenangi UCL dan diangkat selaku pemain terbaik dalam liga utama. Dia kini dalam detik yang baik dan merupakan pertahanan yang bagus."

Justeru, Pedro berharap dapat mengatasi Van Dijk dan Liverpool demi kejayaan keempatnya dalam Piala Super setelah tiga kali menggondol trofi itu bersama Barcelona. 

Pemain berusia 32 tahun itu berpendapat gelaran pada awal musim ini boleh menjadi pemangkin keyakinan The Blues, lebih-lebih lagi selepas tumpas 0-4 kepada Manchester United dalam aksi liga, kelmarin. 

"Ia satu lagi trofi (untuk direbut), adalah menjadi langkah yang bagus buat kami untuk memulakan musim ini dengan memenangi trofi --  ia bagus demi keyakinan dan masa depan kami," katanya.

"Liverpool merupakan sebuah pasukan yang ampuh yang diperkuatkan dengan pemain hebat, pasukan yang mantap dan amat berbahaya ketika melancarkan serangan balas. Kami perlu membaca permainan dengan baik, tetap memadatkan ruang sepanjang permainan dan apabila mempunyai peluang, kami perlu memanfaatkannya jika mahu menang.

"Ini adalah Piala Super saya yang keempat, saya cukup bernasib baik untuk memenanginya tiga kali. Saya mempunyai kenangan yang baik dalam perlawanan terakhir (pada 2015). Apa yang penting adalah mentaliti: kami perlu kekal kuat dan kekal padat."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen