Play-off kelayakan Piala Dunia: Tsukitate enggan cipta alasan 

Oleh Staff Writer 7 Jun 2019 11153
Play-off kelayakan Piala Dunia: Tsukitate enggan cipta alasan 
Jurulatih Timor Leste, Norio Tsukitate, tidak mahu rasa terkilannya menjadi racun buat pasukannya selepas sesi latihan rasmi yang sepatutnya diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam tidak mendapat kebenaran komisioner perlawanan.

Tsukitate hanya bertenang sebaik keputusan itu dibuat menjelang pertemuan agregat play-off kelayakan Piala Dunia Qatar 2022, malam ini. 

Hasrat untuk mencuba padang di venue perlawanan itu tidak kesampaian atas alasan ingin menjaga kualiti padang sebelum perlawanan.

Sebaliknya, skuad Timor Leste hanya menjalani sesi latihan rasmi di atas trek stadium selepas diberi kebenaran untuk memijak rumput padang bagi tempoh 10 minit sahaja.

"Inilah bola sepak, tiada masalah. 

"Kami bertandang ke negara lain dan buat pertama kalinya berdepan masalah padang, cuaca dan situasi seperti ini. 

"Apa yang kami boleh buat, inilah cabaran buat pemain," kata jurulatih kelahiran Jepun itu. 

Beliau masih meletakkan harapan agar hujan tidak menjadi penghalang buatnya dalam memastikan percaturannya tidak tersasar jauh.

"Adakalanya ia boleh menjadi masalah besar tetapi saya harap tidaklah," tambahnya. 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen