Rakitic kembali ke Barcelona susulan kecederaan tumit

Oleh Staff Writer 13 November 2019 82
Rakitic kembali ke Barcelona susulan kecederaan tumit
Ivan Rakitic telah meninggalkan skuad Croatia untuk kembali ke Barcelona selepas mengalami kecederaan tumit.

Pemain tengah itu dipanggil oleh pengendali skuad kebangsaan Croatia, Zlatko Dalic, bagi menghadapi aksi terakhir kelayakan Euro 2020 menentang Slovakia, Sabtu ini, tatkala keputusan seri sudah cukup untuk membawa finalis Piala Dunia itu layak ke pusingan akhir daripada Kumpulan E.

Croatia akan bertemu Georgia dalam satu aksi persahabatan minggu depan.

Bagaimanapun, Rakitic terpaksa pulang ke Catalonia susulan kecederaan tumit dan tidak dinamakan dalam skuad Barca menjelang perlawanan amal berdepan Cartagena selepas disahkan oleh kelab LaLiga itu semalam.

Dia memberitahu Novi List di negaranya: "Saya takut tidak dapat membantu pasukan tetapi tetap meyakinkan rakan sepasukan bahawa mereka akan berjaya tanpa saya."

Pemain berusia 31 tahun itu bergelut untuk mendapatkan minit permainan musim ini, dengan hanya tampil sekali dalam kesebelasan utama pasukan kendalian Ernesto Valverde itu.

Bekas bintang Sevilla itu dikaitkan dengan perpindahan pada Januari depan tatkala Juventus, Inter Milan dan AC Milan merupakan antara kelab yang berminat.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen