Ribery tidak ke Itali untuk bersaing dengan Ronaldo

Oleh Staff Writer 23 Ogos 2019 2782
Ribery tidak ke Itali untuk bersaing dengan Ronaldo
Franck Ribery berharap dapat beraksi melebihi usia 40 tahun selepas menyertai Fiorentina tetapi tidak bercadang untuk menjadi pesaing kepada Cristiano Ronaldo.

Khidmat Ribery selama 12 tahun di Bayern Munich berakhir apabila kontraknya tamat pada penghujung musim 2018-19 selepas menjuarai gelaran Bundesliga buat kali kesembilan.

Berikutan spekulasi berpanjangan mengenai destinasi seterusnya, bekas pemain sayap kebangsaan Perancis itu bersetuju untuk menandatangani kontrak selama dua tahun bersama La Viola.

Ribery, yang merancang untuk mengikut jejak langkah veteran Serie A seperti Francesco Totti, meletakkan sasaran untuk membantu Fiorentina kembali ke pentas Liga Juara-Juara (UCL).

"Kami telah mengadakan perbincangan yang panjang tetapi saya sangat gembira di Florence," kata pemain berusia 36 tahun itu.

"Saya melihat motivasi yang baik dan pihak pengurusan yakin dengan kemampuan saya. Ia adalah sebab saya berada di sini.

"Saya sentiasa mahu beraksi. Saya memiliki kontrak selama dua tahun di sini dan mahu membantu pemain-pemain muda Fiorentina. Saya mahu memberikan sesuatu yang baru kepada kelab ini, saya mahu pastikan Fiorentina dalam kelompok tiga pasukan teratas.

"Saya ke sini kerana mahu membantu Fiorentina. Saya bukan mahu menjadi pencabar Ronaldo. Serie A adalah kejohanan yang berkualiti dan dibarisi pemain-pemain berkualiti. Inter turut membawa masuk beberapa pemain ternama, sama seperti Juventus.

"Salah satu lagi sebab saya beraksi di Itali adalah mahu mengikut jejak langkah Francesco Totti, bermain bola sepak melepasi umur 40 tahun."

Fiorentina membuka kempen baru Serie A di laman sendiri berdepan Napoli esok tetapi Ribery dijangka tidak akan terlibat.

"Saya belum bersedia untuk memulakan permainan tetapi saya sangat gembira kerana dapat berlatih bersama pasukan," katanya lagi.

"Saya memerlukan satu atau dua minggu lagi sebelum boleh beraksi tetapi jika jurulatih (Vincenzo Montella) perlukan saya beraksi, saya akan bersedia."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen