Ronaldo: Bagus untuk kembali ungguli Serie A

Oleh Staff Writer 7 Oktober 2019
Ronaldo: Bagus untuk kembali ungguli Serie A
Cristiano Ronaldo gembira dengan kemenangan Juventus ke atas seteru utama, Inter Milan, tatkala juara bertahan Serie A itu kembali ke puncak Serie A.

Juve memintas Inter selepas mencatat kemenangan 2-1 dalam aksi Derby d'Italia di San Siro, awal pagi tadi.

Jaringan daripada Paulo Dybala dan Gonzalo Higuain membolehkan Juve satu mata mengatasi Inter yang menyaksikan rekod cemerlang mereka di permulaan musim ini dimusnahkan The Bianconeri.

Ronaldo, yang menggegarkan palang dan menyaksikan jaringannya dibatalkan akibat ofsaid, menggunakan Instagram untuk meraikan kemenangan liga keempat berturut-turut, musim ini.

Pemenang lima kali Ballon d'Or itu berkata: "Satu persembahan hebat daripada pasukan hari ini!

"Perasaan bagus untuk kembali ke puncak liga! #finoallafine #forzajuve #liveahead."

Jaringan pada minit keempat oleh Dybala meletakkan Juve di depan sebelum Lautaro Martinez menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti, 14 minit kemudian.

Bagaimanapun, Higuain muncul watak pemusnah selepas masuk selaku pemain gantian apabila menjaringkan gol kemenangan ketika permainan berbaki 10 minit di Milan.

Juve kini menuju tempoh rehat antarabangsa dengan mengungguli carta liga tatkala skuad kendalian Maurizio Sarri itu akan menyambung saingan berdepan Bologna, 19 Oktober ini.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen